Jahitan yang boleh diserap untuk pembaikan episiotomi dan luka terkoyak semasa bersalin

Kira-kira 70% wanita yang bersalin melalui faraj akan mengalami sedikit kerosakan pada perineum kerana terkoyak atau terpotong (episiotomi) dan memerlukan jahitan. Kerosakan ini boleh menyebabkan kesakitan perineum dalam tempoh dua minggu selepas kelahiran dan sesetengah wanita mengalami kesakitan jangka panjang dan ketidakselesaan semasa hubungan seks. Trauma pada perineum boleh menyukarkan ibu baru yang berusaha untuk mengatasi perubahan hormon dan kehendak bayinya. Ini boleh memberi kesan jangka panjang pada hubungan seks. Kebanyakan bahan moden yang diguna untuk menjahit perineum boleh diserap secara beransur-ansur dan tidak perlu dikeluarkan. Namun, kadangkala jahitan perlu dikeluarkan oleh doktor atau bidan. Sebilangan kecil luka perineum menjadi terbuka (rosak) atau lambat sembuh dan sesetengah luka ini perlu dijahit semula,

Ulasan ini termasuk 18 kajian rambang terkawal dengan 10,171 wanita serta meneliti kegunaan katgut dan bahan-bahan sintetik untuk jahitan perineum selepas bersalin. Ulasan ini turut merangkumi bahan baru yang direka khas untuk diserap dengan lebih cepat. Penemuam utama adalah wanita yang menerime jahitan dengan bahan-bahan sintetik boleh mengalami kesakitan yang kurang pada tiga hari pertama selepas bersalin serta memerlukan kurang ubat-ubatan untuk melegakan kesakitan dalam tempoh 10 hari selepas melahirkan, berbanding dengan wanita yang menerima jahitan dengan katgut. Terdapat bukti bahawa jahitan sintetik tidak selalunya mudah diserap dan sesetengah wanita memerlukan jahitan tersebut dibuang. Wanita mengalami kesakitan jangka pendek dan jangka panjang yang serupa dengan penggunaan bahan sintetik boleh serap piawai dan bahan jahitan yang mudah serap. Namun, dalam satu kajian, bilangan wanita yang menggunakan bahan jahitan cepat serap melaporkan kurang penggunaan ubat tahan sakit dalam tempoh 10 hari selepas bersalin, dan keperluan pembuangan jahitan tersebut juga kurang. Apabila katgut dan katgut dicelup gliserol dibandingkan, keputusannya adalah sama, walaupun katgut dicelup gliserol dikaitkan dengan lebih kesakitan jangka pendek. Satu kajian yang menilai monofilamen dan jahitan sintetik piawai mendapati sedikit perbezaan di antara kedua-dua bahan dari segi kesakitan dan penyembuhan luka. Selain daripada jenis bahan yang diguna, faktor-faktor lain seperti teknik yang diguna untuk membuat jahitan (menggunakan benang berterusan atau satu siri jahitan yang diikat secara berasingan) serta kemahiran individu yang membuat prosedur tersebut boleh mempengaruhi kesakitan dan cara penyembuhan luka perineum.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Raymond Chieng Siang Ching (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura (Melaka manipal medical College) Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi raymondchieng@gmail.com

Tools
Information