Akupunktur dan intervensi berkaitan untuk berhenti merokok

Kami meninjau semula bukti yang menunjukkan akupunktur, 'acupressure', terapi laser atau rangsangan elektrik dapat membantu orang yang cuba untuk berhenti merokok.

Latar Belakang

Akupunktur adalah sejenis kaedah perubatan tradisional Cina menggunakan cucukan jarum-jarum halus pada titik-titik tertentu di permukaan kulit. Jarum boleh dirangsang dengan menggunakan tangan atau melalui arus elektrik (elektroakupunktur). Terapi-terapi lain yang turut merangsang titik-titik tertentu pada permukaan badan tanpa penggunaan jarum termasuklah 'acupressure', terapi laser dan rangsangan elektrik. Jarum dan 'acupressure' boleh digunakan hanya pada sesi rawatan sedang berlangsung atau boleh juga dirangsang secara berterusan dengan menggunakan jarum tertempat atau manik atau biji benih yang ditampal pada titik-titik 'acupressure'. Terapi-terapi ini adalah bertujuan untuk mengurangkan simptom-simptom pemberhentian secara mengejut yang dialami oleh orang yang cuba untuk berhenti merokok. Ulasan ini menganalisa kajian-kajian yang membandingkan kaedah rawatan secara aktif dengan kaedah rawatan palsu atau perkara-perkara lain yang merangkumi nasihat semata-mata atau kaedah rawatan berkesan seperti terapi gantian nikotin (NRT) atau kaunseling. Kaedah rawatan palsu merupakan kaedah mecucuk jarum atau menekan titik-titik lain pada badan yang dipercayai tidak akan dapat menghasilkan kesan aktif atau menggunakan jarum palsu yang tidak akan menembusi kulit atau penggunaan laser atau alat rangsangan elektrik yang tidak aktif. Dengan penggunaan kaedah-kaedah kawalan ini, pesakit tidak tahu sama ada mereka menerima kaedah rawatan aktif atau sebaliknya.

Untuk mengetahui sama ada terdapat kebaikan jangka panjang dalam membantu perokok untuk berhenti merokok, kami memerhatikan bahagian perserta-peserta kajian yang tidak merokok untuk sekurang-kurangnya enam bulan selepas tarikh berhenti. Kami juga melihat kepada kesan jangka pendek iaitu tidak lebih daripada enam minggu selepas tarikh berhenti. Bukti manfaat selepas enam bulan adalah dianggap perlu bagi membuktikan bahawa mana-mana kaedah rawatan yang disebutkan dapat membantu perokok untuk berhenti merokok selama-lamanya.

Ciri-ciri kajian

Kami mengumpulkan 38 kajian secara rawak yang diterbitkan sehingga Oktober 2013. Kajian-kajian tersebut menguji pelbagai jenis intervensi dan kawalan. Titik-titik tertentu yang digunakan, bilangan sesi dan sama ada rangsangan berterusan digunakan adalah tidak tetap. Tiga kajian (393 orang) membandingkan akupunktur dengan kawalan senarai menunggu. Sembilan belas kajian (1,588 orang) membandingkan akupunktur aktif dengan akupunktur palsu, tetapi hanya 11 kajian antara kajian-kajian ini yang turut menyertakan pemerhatian susulan jangka panjang iaitu selama enam bulan atau lebih. Tiga kajian (253 orang) membandingkan 'acupressure' dengan 'acupressure' palsu tetapi tiada kajian yang menjalankan pemerhatian jangka panjang. Dua kajian menggunakan rangsangan laser dan enam (634 orang) menggunakan rangsangan elektrik. Kualiti bukti-bukti yang dikemukakan secara keseluruhannya adalah sederhana.

Keputusan utama

Tiga kajian yang membandingkan akupunktur dengan kawalan senarai menunggu dan melaporkan tidak merokok secara jangka panjang tidak menunjukkan bukti manfaat yang jelas. Untuk kajian yang membandingkan akupunktur dengan akupunktur palsu, ada bukti lemah yang menunjukan terdapat manfaat jangka pendek tetapi bukan manfaat jangka panjang. Akupunktur adalah kurang berkesan berbanding terapi gantian nikotin (NRT) dan tidak juga lebih baik daripada kaunseling. Terdapat bukti yang terhad bagi menunjukkan 'acupressure' adalah lebih baik daripada 'acupressure' palsu dalam jangka pendek tetapi tiada bukti tentang kesan jangka panjang. Dalam analisis terhadap sekelompok kecil kajian yang menggunakan kaedah rawatan rangsangan berterusan, kajian yang menggunakan 'acupressure' secara berterusan pada titik-titik di telinga mempunyai kesan jangka pendek yang paling besar. Bukti daripada dua kajian yang menggunakan rangsangan laser tidak konsisten. Tujuh kajian yang mengaplikasikan rangsangan elektrik tidak menunjukkan bukti manfaat berbanding rangsangan elektrik palsu.

Ulasan berkenaan tidak menjumpai bukti yang konsisten bahawa akupunktur aktif atau teknik berkaitan dapat meningkatkan bilangan perokok yang berjaya berhenti merokok. Namun, sebahagian teknik mungkin lebih baik daripada langsung tidak melakukan apa-apa, setidak-tidaknya untuk jangka pendek dan tidak ada bukti yang cukup untuk menolak kebarangkalian yang teknik-teknik tersebut mungkin lebih berkesan berbanding plasebo. Kaedah-kaedah yang telah digunakan mungkin kurang berkesan berbanding dengan intervensi berdasarkan bukti yang ada. Kaedah-kaedah tersebut adalah selamat jika diaplikasikan dengan betul.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nursyahirah binti Johari (Melaka-Manipal Medical College). Disunting olen Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor's University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan, berkaitan terjemahan ini sila hubungi nursyahirahjohari@gmail.com

Tools
Information