Soalan ulasan
Kami ingin membandingkan keselamatan dan keberkesanan terapi anti-platelet oral dengan plasebo atau tiada rawatan bagi penghidap angin ahmar iskemik akut untuk melihat sama ada ubat anti-platelet mampu mengurangkan jumlah kematian dan memberi kesan baik terhadap pesakit pada jangka masa panjang.
Latar belakang
Kebanyakan angin ahmar disebabkan oleh arteri dalam otak tersumbat secara tiba-tiba, yang secara lazimnya disebabkan oleh darah beku (dipanggil angin ahmar iskemia). Rawatan segera dengan ubat anti-platelet seperti aspirin mungkin mencegah pembentukan darah beku baru dan oleh itu mempertingkatkan pemulihan selepas angin ahmar. Walau bagaimanapun, ubat anti-platelet juga boleh menyebabkan pendarahan dalam otak yang mungkin membatalkan sebarang manfaatnya.
Ciri-ciri kajian
Kami mengenal pasti 11 kajian, sehingga Ogos 2020, untuk disertakan dalam ulasan. Kajian ini melibatkan 42,226 peserta. Tiga kajian baharu telah ditambah sejak kemas kini terakhir. Seperti versi sebelumnya ulasan ini, dua kajian menyumbang 96% daripada data. Kebanyakan peserta dalam ulasan ini adalah orang tua, dengan sebahagian besar yang melebihi umur 70 tahun. Lelaki dan wanita diwakili secara agak sama rata dalam kajian-kajian ini. Ternampak wujudnya variasi dalam tahap keterukan strok antara kajian-kajian yang dimasukkan. Tempoh rawatan yang dijadualkan berbeza-beza antara lima hari sehingga tiga bulan dan tempoh rawatan susulan yang dijadualkan juga berbeza-beza dari 10 hari sehingga enam bulan.
Keputusan utama
Aspirin pada dos 160 mg ke 300 mg setiap hari, dimulakan dalam tempoh 48 jam dari permulaan gejala strok, menyelamatkan nyawa dan mengurangkan risiko untuk strok seterusnya daripada berlaku dalam dua minggu pertama. Jika rawatan dimulakan lebih daripada 48 jam tetapi masih dalam tempoh 14 hari selepas bermulanya gejala strok, bukti yang terhad dalam ulasan ini dan juga data luaran mencadangkan bahawa aspirin adalah bermanfaat walaupun dimulakan pada peringkat lewat seperti ini. Terapi antiplatelet dengan aspirin 160 mg hingga 300 mg setiap hari, diberikan secara oral (atau secara tiub melalui hidung dan ke dalam perut atau melalui rektum pada orang yang tidak boleh menelan) dan dimulakan dalam masa 48 jam dari permulaan strok iskemia yang dianggap, mengurangkan risiko strok iskemia awal yang berulang tanpa risiko utama komplikasi hemoragik awal; hasil jangka panjang telah diperbaiki. Hampir semua bukti dalam ulasan ini datang daripada kajian aspirin.
Kualiti bukti
Kualiti bukti yang menyumbang kepada keputusan ini adalah baik secara amnya.
Diterjemahkan oleh Julie Yeo (Taylor’s University, Malaysia). Disunting oleh Lai Nai Ming (School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my