Adakah ubat untuk kemurungan membantu orang untuk berhenti merokok?

Apakah itu antidepresan?

Antidepresan adalah ubat-ubatan dan suplemen yang digunakan untuk merawat kemurungan. Sebahagian telah diuji untuk melihat sama ada mereka boleh membantu orang untuk berhenti merokok. Dua daripada rawatan ini – bupropion (juga dipanggil Zyban) dan nortriptyline – kadang-kadang diberikan untuk membantu orang berhenti merokok. 

Mengapa kami melakukan Ulasan Cochrane ini

Menghisap tembakau adalah sangat teruk untuk kesihatan manusia. Bagi orang yang merokok, berhenti adalah perkara terbaik yang boleh mereka lakukan untuk meningkatkan kesihatan mereka. Ramai orang mendapati berhenti merokok adalah sangat sukar. Kami ingin mengetahui sama ada menggunakan antidepresan membantu orang berhenti merokok (selama enam bulan atau lebih), dan kemungkinan bahaya yang mungkin timbul daripada penggunaan ubat-ubatan ini.

Kami berminat untuk mengetahui:

- Berapa orang berhenti merokok sekurang-kurangnya enam bulan; dan

- Berapa orang yang mempunyai kesan yang tidak diingini.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang melihat penggunaan antidepresan untuk membantu orang berhenti merokok.

Kami mencari kajian rawak terkawal, di mana rawatan yang diterima ditentukan secara rawak. Kajian jenis ini biasanya memberikan bukti yang paling dipercayai mengenai kesan rawatan. Kami menyertakan kajian bagi apapun tempoh masa ketika melihat keselamatan ubatan, tetapi kajian perlu sekurang-kurangnya enam bulan ketika menilai sama ada seseorang itu berjaya berhenti merokok.

Apa yang kami temui

Ulasan ini merangkumi 124 kajian, termasuk 48,832 peserta, yang mengkaji manfaat dan keselamatan antidepresan yang berbeza ketika digunakan untuk berhenti merokok. Kebanyakan kajian dijalankan ke atas orang dewasa yang menghisap tembakau, dengan dan tanpa sejarah penyakit mental. Empat kajian merekrut orang muda berumur 12 hingga 21 tahun. Kebanyakan peserta didorong untuk berhenti merokok.

Apakah keputusan ulasan kami?

Berbanding dengan tidak menggunakan sebarang ubat, menggunakan bupropion antidepresan menjadikan 49% hingga 72% lebih berkemungkinan seseorang itu akan berjaya berhenti merokok, iaitu bersamaan dengan enam hingga lapan orang lagi berjaya berhenti selama enam bulan atau lebih bagi setiap seratus orang yang cuba berhenti. Terdapat bukti bahawa orang yang menggunakan antidepresan, nortriptyline, untuk berhenti merokok juga meningkatkan peluang mereka untuk berjaya.

Bupropion boleh meningkatkan kesan tidak diingini yang serius (seperti kematian, kemasukan ke hospital atau kejadian yang mengancam nyawa). Kesan yang tidak diingini boleh meningkatkan peluang orang berhenti menggunakan ubat tersebut. Tidak ada cukup maklumat untuk membuat kesimpulan yang jelas mengenai bahaya nortriptyline untuk berhenti merokok.

Bukti menunjukkan bahawa mengambil bupropion pada masa yang sama dengan ubat berhenti merokok yang lain - varenicline (ubat yang kadang-kadang dikenali sebagai Champix atau Chantix yang bukan ubat antidepresan) dan terapi penggantian nikotin gabungan (tampalan ditambah bentuk lain) - boleh menjadikan orang lebih ramai berkemungkinan untuk berhenti merokok berbanding jika mereka menggunakan terapi penggantian nikotin atau vareniklin sahaja. Walau bagaimanapun, bukti lanjut mungkin mengubah penemuan kami. Bukti tidak mencadangkan manfaat menggunakan bupropion pada masa yang sama sebagai satu bentuk terapi penggantian nikotin; contohnya, tampalan, gula-gula getah atau lozenge sahaja. Orang mungkin lebih berkemungkinan untuk berhenti merokok apabila menggunakan bupropion berbanding dengan nortriptyline, tetapi lebih berkemungkinan untuk berhenti apabila menggunakan varenicline daripada bupropion.

Sejauh mana keputusan ini boleh dipercayai?

Terdapat bukti kepastian tinggi bahawa bupropion membantu orang untuk berhenti merokok, yang bermaksud penyelidikan lebih lanjut tidak mungkin mengubah kesimpulan ini. Walau bagaimanapun, terdapat juga bukti kepastian tinggi yang menunjukkan bahawa orang yang menggunakan bupropion lebih berkemungkinan berhenti mengambil ubat kerana kesan yang tidak menyenangkan daripada mereka yang mengambil pil tanpa ubat (plasebo) atau tanpa ubat. Kepastian bukti adalah sederhana atau rendah untuk soalan utama lain yang kami kaji. Ini bermakna penemuan soalan-soalan tersebut mungkin berubah apabila kajian-kajian lain dijalankan. Dalam kebanyakan kes, ini adalah kerana kajian tidak mencukupi atau kajian terlalu kecil.

Sejauh manakah bukti ini terkini?  

Ulasan ini mengemaskini ulasan kami yang terdahulu. Bukti adalah terkini setakat April 2022.

Mesej utama

- Bupropion boleh membantu orang untuk berhenti merokok tetapi mungkin menyebabkan orang ramai mengalami kesan tidak diingini yang serius yang boleh mengakibatkan orang berhenti mengambilnya atau terpaksa pergi ke hospital.

- Nortriptyline juga nampaknya membantu orang ramai untuk berhenti merokok, tetapi bupropion mungkin lebih berkesan.

- Bupropion mungkin sama membantu sebagai satu bentuk terapi penggantian nikotin dalam membantu orang untuk berhenti merokok, tetapi kurang daripada terapi penggantian nikotin gabungan (iaitu, tampalan ditambah bentuk lain) dan varenicline.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nur Farahim Daud (RCSI & UCD Malaysia Campus). Dikemaskini. Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information