Apakah matlamat ulasan ini?
Matlamat Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada strategi-strategi untuk meningkatkan kerjasama antara profesional (proses di mana kumpulan profesional penjagaan kesihatan dan sosial yang berbeza bekerja bersama-sama) dapat memberi impak positif terhadap penyampaian penjagaan kepada pesakit. Penyelidik-penyelidik Cochrane mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini, dan mendapati sembilan kajian dengan 5540 peserta.
Mesej utama
Strategi-strategi untuk meningkatkan kerjasama antara profesional penjaggan kesihatan dan sosial mungkin dapat meningkatkan sedikit status fungsi pesakit, kepatuhan profesional kepada amalan yang disyorkan, dan penggunaan sumber penjagaan kesihatan. Oleh sebab kekurangan bukti yang jelas, kami tidak pasti sama ada strategi-strategi ini meningkatkan penilaian kualiti penjagaan oleh pesakit, kesinambungan penjagaan, atau kolaboratif bekerja.
Apakah yang telah dikaji dalam ulasan ini?
Tahap kebaikan kerjasama antara pelbagai profesional penjagaan kesihatan dan sosial mempengaruhi kualiti penjagaan yang mereka berikan. Jika terdapat masalah dalam cara para profesional ini berkomunikasi dan berinteraksi antara satu sama lain, ini boleh menyebabkan masalah dalam penjagaan pesakit. Intervensi berasaskan amalan kolaborasi antara profesional ialah strategi-strategi yang dilaksanakan dalam suasana penjagaan kesihatan untuk meningkatkan interaksi dan proses kerja antara dua atau lebih jenis profesional penjagaan kesihatan. Ulasan ini mengkaji pelbagai intervensi kolaborasi antara para profesional berbanding dengan penjagaan biasa atau intervensi alternatif, untuk melihat sama ada ia meningkatkan penjagaan pesakit atau kolaborasi.
Apakah keputusan-keputusan utama ulasan ini?
Pengarang ulasan menemui sembilan kajian yang relevan merentas suasana penjagaan primer, menengah, tertiar dan komuniti. Semua kajian telah dijalankan di negara berpendapatan tinggi (Australia, Belgium, Sweden, UK dan Amerika Syarikat) dan berlangsung sehingga 12 bulan. Kebanyakan kajian telah dijalankan dengan baik, walaupun beberapa kajian melaporkan bahawa ramai peserta tercicir. Kajian-kajian tersebut menilai pelbagai kaedah kolaborasi antara profesional, iaitu aktiviti antara profesional yang dipermudahkan dari luar (contohnya, aktiviti perancangan/renungan kolaboratif yang dipimpin oleh individu yang bukan sebahagian darioada kumpulan/tim), pusingan-pusingan antara profesional, mesyuarat-mesyuarat antara profesional, dan senarai-senarai semak antara profesional.
Aktiviti antara profesional yang dimudahkan secara luaran boleh meningkatkan sedikit status fungsi pesakit dan kepatuhan profesional penjagaan kesihatan terhadap amalan disyorkan, dan boleh meningkatkan sedikit penggunaan sumber penjagaan kesihatan. Kami tidak pasti sama ada aktiviti antara profesional yang dimudahkan secara luaran meningkatkan kualiti penjagaan yang dinilai pesakit, kesinambungan penhagaan atau tingkah laku kerja kolaboratif. Penggunaan pusingan-pusingan antara profesional dan senarai-senarai semak antara profesional boleh meningkatkan sedikit penggunaan sumber penjagaan kesihatan . Mesyuarat antara profesional boleh meningkatkan sedikit kepatuhan kepada amalan disyorkan, dan boleh meningkatkan sedikit penggunaan sumber penjagaan kesihatan .
Penyelidikan lanjut diperlukan, termasuk kajian yang menguji intervensi secara berskala untuk memahami secara lebih baik takat pelbagai jenis intervensi dan keberkesanannya, bagaimana ia mempengaruhi kolaborasi antara profesional dan membawa kepada perubahan dalam penjagaan serta hasil kesihatan pesakit, dan dalam keadaan apa intervensi tersebut boleh paling berguna.
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Pengarang ulasan mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga November 2015.
Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Khaw Loke Tim (IMU University). Disunting oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia).