Kesan memusingkan bayi dari posisi punggung dahulu kepada kepala dahulu pada akhir kehamilan (sekitar 36 minggu atau lebih) untuk mengurangkan masalah semasa bersalin

Apakah isunya?

Hasil terbaik bersalin untuk ibu dan bayi adalah apabila bayi dilahirkan kepala dahulu. Jika bayi berada dalam posisi lain, terdapat risiko komplikasi yang lebih tinggi termasuk keperluan pembedahan caesar. Dalam kelahiran songsang punggung bayi berada di bawah bukan kepalanya. Versi eksternal sefalik (ECV) adalah teknik untuk memusingkan bayi dalam kandungan supaya kepalanya di posisi ke bawah. Ulasan ini melihat kepada kesan penggunaan ECV pada bayi yang berada dalam kedudukan songsang pada akhir kehamilan (sekitar 36 minggu atau lebih).

Mengapa hal ini penting?

Semua orang ingin mengelakkan komplikasi semasa bersalin dan ramai wanita ingin mengelak untuk pembedahan caesar. Mengelakkan keperluan untuk pembedahan adalah sangat penting di negara dengan sumber penjagaan kesihatan yang terhad. ECV kadangkala diguna sebelum akhir kehamilan (sekitar 34 minggu) tetapi keputusannya mungkin berbeza apabila ia diguna sebelum bersalin. Tambahan juga mungkin sukar untuk memusingkan bayi yang belum lahir pada peringkat akhir ini. Kami ingin tahu jika mengguna ECV pada peringkat akhir kehamilan menyebabkan kelahiran yang lebih selamat atau bahaya.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami mendapati 8 kajian melibatkan 1308 wanita. (Kami sertakan kajian-kajian sehingga 28 Februari 2015.) Semua kajian-kajian tersebut adalah kajian rawak melibatkan wanita hamil yang berisiko rendah. Mengguna ECV sekitar 36 minggu atau lebih meningkatkan peluang bayi lahir dengan kepala dahulu dan mengurangkan risiko pembedahan caesar. Tiada perbezaan jelas dalam hasil lain seperti risiko kematian bayi. Kualiti kajian adalah pelbagai, oleh itu kekuatan bukti adalah berbeza-beza.

Apakah maksud keputusan ini?

Jika punggung bayi dalam kandungan berada di posisi bawah, memusingkannya dengan ECV sebelum kelahiran boleh mengurangkan beberapa masalah akibat kedudukan ini. Kajian ini terlalu kecil untuk menunjukkan jika ECV selamat diguna dalam kalangan wanita dengan kehamilan berisiko rendah, walau bagaimana pun jenis kajian-kajian lain mencadang ia selamat. Kami juga tidak pasti jika ia perlu diguna dalam kes berisiko tinggi, seperti ibu yang telah menjalani pembedahan caesar atau mereka yang mengandung kembar.

Ringkasan visual beberapa keputusan daripada ulasan ini boleh didapati di sini .

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Saw Zhi Kuan (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information