Mesej utama
- Implan ekstramedular menghasilkan hasil yang hampir sama secara keseluruhan dengan paku sefalomedular dalam rawatan jenis patah pinggul ini.
- Terdapat pengurangan risiko jangkitan dan tidak bersatu (di mana tulang gagal sembuh) dengan paku sefalomedular, tetapi peningkatan risiko patah tulang berkaitan implan.
Patah pinggul dalam orang tua
Patah tulang pinggul adalah patah di bahagian atas tulang peha. Dalam ulasan ini, kami menyertakan orang yang mengalami kepatahan berhampiran sendi pinggul. Jenis patah pinggul ini biasa berlaku pada orang tua yang tulangnya mungkin rapuh kerana keadaan yang disebut osteoporosis. Perkara ini sering berlaku selepas terjatuh dari posisi berdiri atau duduk.
Apakah rawatannya?
Cara biasa untuk membaiki jenis kepatahan ini adalah dengan membaiki bahagian tulang yang patah dengan implan logam.
- Semasa pembedahan, pakar bedah boleh memasukkan batang logam (paku) melalui bahagian atas tulang kaki ke bawah ke arah lutut. Paku ini (dipanggil paku sefalomedular) dipegang pada tempatnya dengan skru.
- Sebagai alternatif, pakar bedah boleh menggunakan plat besi yang terletak di tepi luar tulang yang patah (dipanggil sebagai implan ekstramedular) yang mencantumkan tulang dengan skru.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan dua jenis rawatan ini. Kami ingin mengetahui manfaat dan kemudaratan rawatan yang berbeza ini. Kami menggabungkan penemuan daripada kajian untuk melihat sama ada kami boleh mengetahui sama ada satu rawatan adalah lebih baik daripada yang lain.
Apakah yang telah kami temui?
Kami menemui 76 kajian, yang melibatkan 10,979 orang dewasa dengan 10,988 tulang pinggul yang patah. Purata umur peserta kajian adalah antara 54 hingga 85 tahun dan 72% ialah wanita; ini adalah biasa bagi orang yang mengalami patah tulang jenis ini.
Kami menemui bahawa mungkin terdapat sedikit perbezaan antara rawatan dengan paku sefalomedular atau implan ekstramedular dalam bilangan orang yang mati dalam tempoh empat bulan selepas pembedahan atau pada 12 bulan. Terdapat mungkin sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan orang yang mengalami kekeliruan (juga dipanggil delirium) selepas pembedahan mereka, dan sedikit atau tiada perbezaan dalam fungsi pinggul (keupayaan untuk menggunakan pinggul) pada empat bulan selepas pembedahan. Terdapat mungkin sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan orang yang memerlukan pembedahan tambahan pada pinggul mereka yang patah. Kami tidak pasti sama ada terdapat perbezaan dalam seberapa baik seseorang itu boleh melakukan aktiviti harian mereka, atau dalam kualiti hidup berkaitan kesihatan mereka pada empat bulan. Kami juga tidak pasti sama ada paku sefalomedular meningkatkan keupayaan seseorang untuk berjalan secara bebas (dengan tidak lebih daripada satu tongkat) pada empat bulan.
Kami juga melihat kesan sampingan (atau kemudaratan) yang mungkin daripada patah tulang itu sendiri atau daripada menggunakan satu atau lain-lain implan. Bagi kebanyakan jenis kesan sampingan yang biasa dalam pembedahan patah pinggul, tidak ada bukti perbezaan antara kedua-dua jenis implan ini. Kami menemui bahawa kurang orang yang mengalami jangkitan pada tapak pembedahan, atau tulang patah yang gagal sembuh (dipanggil tidak bersatu), apabila paku sefalomedular digunakan. Namun, lebih ramai orang mengalami patah tulang semasa atau selepas pembedahan apabila paku sefalomedular digunakan.
Adakah kami yakin dengan apa yang kami temui?
- Kami cukup yakin dengan penemuan tentang bilangan orang yang mati selepas pembedahan. Sebilangan besar kajian melaporkan ini, dan penemuannya selalunya serupa.
- Kami kurang yakin tentang bukti untuk delirium, fungsi pinggul, dan pembedahan tambahan. Penemuan ini termasuk kemungkinan manfaat dengan salah satu rawatan (contohnya, kurang pembedahan) serta kemungkinan bahaya (contohnya, lebih banyak pembedahan).
- Kami sangat tidak pasti tentang penemuan bagi seberapa baik orang boleh melakukan aktiviti harian mereka. Hal ini kerana kami tidak dapat menjelaskan perbezaan yang luas antara penemuan dalam setiap kajian.
- Kami tidak pasti tentang penemuan untuk kualiti hidup berkaitan kesihatan kerana kami tidak dapat mengambil kira jumlah peserta yang hilang semasa susulan kajian.
- Kami juga tidak pasti tentang penemuan untuk keupayaan seseorang untuk berjalan secara bebas empat bulan selepas pembedahan. Hal ini kerana kajian mengukur keupayaan berjalan dengan cara yang berbeza, dan kadangkala mereka mempunyai penemuan yang berbeza.
Semua bukti yang kami temui menyertakan sekurang-kurangnya beberapa kajian yang tidak melaporkan dengan jelas kaedah yang digunakan untuk merawakkan peserta (iaitu untuk memperuntukkan mereka secara kebetulan) kepada salah satu daripada dua jenis implan. Kajian ini, dengan reka bentuk kajian yang kurang kukuh, mungkin menjejaskan penemuan kami.
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Julai 2020.
Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal (PPM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my