Soalan ulasan
Penyelidik Cochrane mengulas bukti tentang pemberian hormon pertumbuhan sebagai rawatan tambahan kepada wanita yang menjalani IVF berbanding tidak memberikan rawatan ini kepada wanita.
Latar belakang
Semasa kitaran IVF, wanita perlu diberi terapi gonadotropin untuk merangsang ovari menghasilkan telur. Secara teorinya, penggunaan hormon pertumbuhan sebagai rawatan tambahan boleh meningkatkan tindak balas terapi gonadotropin. Kami menilai faedah dan risiko penggunaan hormon pertumbuhan berbanding tanpa rawatan hormon pertumbuhan pada wanita yang menjalani IVF. ‘Respons yang lemah’ dalam rawatan IVF biasanya adalah wanita yang lebih tua dengan rizab ovari yang rendah atau wanita yang pernah menjalani rawatan IVF sebelumnya dengan kurang daripada lima telur yang dikumpul walaupun dengan dos maksimum ubat rangsangan. Wanita lebih muda dengan rizab ovari yang baik dan tindak balas ovari yang baik (> 5 telur dikumpul) selepas rangsangan ovari dianggap sebagai responden biasa.
Ciri-ciri kajian
Kami menjumpai 16 kajian rawak terkawal dengan 1352 wanita. Percubaan jenis ini membahagikan orang ke dalam dua kumpulan secara rawak. Dalam kes ini, satu kumpulan menerima IVF ditambah hormon pertumbuhan dan kumpulan lain menerima IVF sahaja. Bukti adalah terkini sehingga 11 November 2020.
Keputusan utama
Dalam responden biasa, dengan penggunaan adjuvant GH, kesan kepada kadar kelahiran hidup adalah sangat tidak menentu; jika peluang kelahiran hidup tanpa hormon pertumbuhan diandaikan 15%, peluang kelahiran hidup dengan hormon pertumbuhan adalah antara 6% dan 43%. Tiada bukti yang mencukupi untuk mencapai kesimpulan mengenai kadar kehamilan klinikal, bilangan wanita dengan sekurang-kurangnya satu telur diambil, pemindahan embrio dicapai, serta bilangan telur diambil dari responden biasa. Buktinya juga sangat kurang pasti tentang kesan hormon pertumbuhan pada unit purata gonadotropin yang digunakan dalam responden biasa.
Buktinya sangat kurang pasti tentang kesan hormon pertumbuhan pada kadar kelahiran hidup untuk responden yang lemah, berdasarkan lapan percubaan. Jika peluang kelahiran hidup tanpa hormon pertumbuhan diandaikan 11%, peluang kelahiran hidup dengan hormon pertumbuhan adalah antara 13% dan 25%. Hormon pertumbuhan menghasilkan sedikit peningkatan dalam kadar kehamilan pada responden yang lemah, berdasarkan 11 percubaan dengan bukti kepastian rendah. Hasil mencadangkan, jika kadar kehamilan tanpa hormon pertumbuhan diandaikan 15%, dengan penggunaan hormon pertumbuhan, kadar kehamilan pada responden yang lemah adalah antara 19% dan 31%. Bukti menunjukkan bahawa hormon pertumbuhan menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan wanita dengan sekurang-kurangnya satu oosit diperoleh, berdasarkan dua percubaan dengan kepastian bukti rendah. Jika peluang untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 1 telur pada responden yang lemah ialah 81%, peluang dengan hormon pertumbuhan adalah antara 87% dan 99%. Terdapat sedikit peningkatan dalam bilangan purata oosit yang diperoleh dengan penggunaan hormon pertumbuhan pada responden yang lemah, berdasarkan 12 percubaan dengan kepastian bukti rendah. Buktinya sangat kurang pasti tentang kesan hormon pertumbuhan pada pemindahan embrio yang dicapai, berdasarkan empat percubaan. Jika peluang untuk mencapai pemindahan embrio diandaikan 77%, peluang dengan hormon pertumbuhan adalah antara 78% dan 94%. Penggunaan hormon pertumbuhan mengakibatkan pengurangan unit purata gonadotropin yang digunakan untuk rangsangan pada responden yang lemah, berdasarkan lapan percubaan dengan bukti kepastian rendah.
Heterogenitas yang tinggi dalam analisis untuk bilangan purata oosit yang diperoleh dan unit purata GH yang digunakan mencadangkan kesan yang agak berbeza mengikut perbezaan termasuk dalam protokol percubaan (populasi, dos dan jadual GH), oleh itu keputusan ini harus ditafsirkan dengan berhati-hati.
Kami tidak pasti tentang kesan hormon pertumbuhan pada kejadian buruk dalam responden biasa atau lemah kerana 6 daripada 16 percubaan yang disertakan gagal melaporkan hasil ini.
Kualiti bukti
Kepastian bukti adalah rendah hingga sangat rendah, dengan batasan utama iaitu pelaporan kaedah kajian yang lemah, data yang tidak tepat dan kebolehubahan dalam kalangan kajian.
Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my