Apakah jenis ubat pencair darah (antikoagulan) terbaik untuk mencegah klot darah dalam kalangan orang selepas strok?

Soalan ulasan

Ulasan ini bertujuan untuk mengetahui jenis ubat pencair darah yang berfungsi paling baik untuk mencegah klot darah dalam kalangan orang yang baru mengalami strok akibat arteri tersumbat di otak.

Latar belakang

Strok adalah penyakit lazim dan melumpuhkan. Arteri tersumbat secara tiba-tiba ke otak, yang sering disebabkan oleh klot darah, adalah punca jenis strok yang lazim. Jenis ini dipanggil strok iskemia. Antikoagulan (ubat pencair darah), digunakan secara meluas dalam kalangan orang dengan strok. Oleh kerana strok adalah kecemasan perubatan, dan ubat-ubatan yang diberi dalam keperluan kecemasan perlu sampai kepada aliran darah dengan cepat, ia diberi melalui suntikan. Suntikan antikoagulan yang telah diuji dalam strok adalah heparin bukan pecahan (UFH), heparin berat molekul yang rendah (LMWH), dan heparinoid. Agen-agen ini boleh membantu membersihkan arteri yang tersumbat, mencegah penyumbatan semula, dan mencegah pembentukan klot dalam vena kaki (trombosis vena dalam, DVT) selepas strok iskemia dan mungkin mencegah kematian atau komplikasi strok yang melumpuhkan dan memperbaiki peluang pemulihan. Walau bagaimanapun, ia juga boleh menyebabkan komplikasi perdarahan berbahaya yang boleh ofset sebarang manfaat.

Tarikh carian

Carian adalah terkini sehingga Februari 2017.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian rawak terkawal dalam kalangan orang dengan permulaan gejala strok terbaru yang membandingkan LMWH atau heparinoid dengan UFH.

Keputusan utama

Kami mendapati sembilan kajian yang melibatkan 3137 peserta; keseluruhan kajian ini mempunyai berisiko biaa sederhana (ini bermakna keputusannya mungkin kurang dipercayai daripada risiko berat sebelah yang rendah). Tiada kajian baru dimasukkan dalam ulasan kemaskini ini. Tiada kajian yang melaporkan maklumat yang boleh dipercayai tentang ketakupayaan atau pemulihan selepas strok. Berbanding UFH, tiada bukti tentang kesan LMWH atau heparinoid terhadap kematian dari semua punca semasa tempoh rawatan (kualiti bukti adalah rendah). Walaupun LMWH atau heparinoid dikaitkan dengan kurang klot di dalam vena kaki (DVT) berbanding UFH, bilangan peristiwa major seperti apabila klot darah tersumbat dalam arteri di paru-paru (embolisme pulmonari) dan perdarahan di dalam tengkorak (perdarahan intrakranial) adalah terlalu kecil untuk mengetahui sama ada mudarat melebihi manfaatnya. Bagi orang yang mengalami strok iskemia yang memerlukan rawatan segera dengan antikoagulan, bukti dari kajian klinikal yang disertakan tidak memberi bukti yang boleh dipercayai mengenai keseimbangan risiko dan manfaat setiap jenis heparin. Penyelidikan tambahan berskala besar diperlukan untuk menyelesaikan ketakpastian ini.

Kualiti bukti

Secara keseluruhan, terdapat risiko bias sederhana dalam kajian-kajian yang disertakan. Menggunakan kriteria GRADE, kami mendapati bahawa kualiti bukti adalah rendah secara keseluruhannya.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information