Hormon kontraseptif gabungan untuk perdarahan yang banyak

Soalan ulasan

Penyelidik dalam Kumpulan Ginekologi dan Kesuburan Cochrane mengulas bukti tentang kesan hormon kontraseptif gabungan berbanding tiada rawatan, plasebo (rawatan palsu), atau rawatan perubatan lain untuk wanita yang mengalami pendarahan haid yang banyak (HMB).

Latar belakang

HMB boleh menyebabkan anemia (terlalu sedikit sel darah merah) dan mengganggu kualiti hidup dan kesejahteraan wanita. Ini bermakna wanita pra-menopaus mungkin sering berunding dengan doktor mereka atau mendapatkan rujukan pakar ginekologi untuk merawat perdarahan haid mereka. Pil kontraseptif oral gabungan (COCP) boleh mengawal kitaran haid dengan menipiskan endometrium (lapisan rahim yang gugur semasa haid). Ada kemungkinan kontraseptif yang diberi melalui cara lain (melalui vagina atau tampalan pada kulit) boleh juga bertindak dengan cara yang sama dan mengurangkan kehilangan darah haid.

Ciri-ciri kajian

Lapan kajian, termasuk 805 wanita, telah dikenalpasti yang membandingkan gabungan hormon kontraseptif (kebanyakannya, pil kontraseptif gabungan) sama ada tanpa rawatan, plasebo atau rawatan perubatan lain. Kajian-kajian menilai kesan intervensi terhadap perdarahan haid, kepuasan, kualiti hidup, peristiwa buruk, dan paras hemoglobin (protein dalam sel darah merah yang membawa oksigen ke seluruh tubuh). Bukti adalah terkini sehingga September 2018.

Keputusan-keputusan utama

Dua kajian mendapati sejenis COCP, yang mengandungi estradiol valerate dan dienogest, mengurangkan HMB dan meningkatkan kualiti hidup dan paras hemoglobin apabila dibandingkan dengan plasebo, tetapi dengan beberapa kesan sampingan kecil. Tiada bukti cukup untuk membandingkan kontraseptif dengan rawatan lain, seperti anti-radang bukan steroid atau progestogen. Dua kajian mendapati sistem intrauterin yang melepaskan levonorgestrel (LNG IUS) lebih berkesan daripada COCP untuk mengurangkan kehilangan darah haid. Dua kajian mendapati tiada bukti kesan berlainan di antara pil kontraseptif oral atau cincin hormon faraj. Kami mendapati tiada kajian yang menilai kesan-kesan tampalan hormon gabungan (tampalan transdermal).

Kualiti bukti

Kualiti bukti yang membandingkan pil kontraseptif oral dengan plasebo adalah sederhana, tetapi kualiti bukti untuk perbandingan lain adalah rendah atau sangat rendah. LNG IUS adalah lebih berkesan daripada COCP untuk mengurangkan perdarahan haid tetapi tiada cukup bukti untuk perbandingan rawatan yang lain. Ini bermakna, walaupun kemungkinan kontraseptif hormon gabungan dapat mengurangkan HMB, kami tidak benar-benar yakin bagaimana mereka bandingkan dengan rawatan perubatan lain untuk mengurangkan HMB (walaupun LNG IUS kelihatan lebih berkesan).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information