Apakah isunya?
Adakah penggunaan pelvimetri untuk menilai saiz pelvis wanita memperbaiki hasil untuk bayi dan ibu? Pelvimetri mungkin boleh mengenal pasti kepala bayi yang terlalu besar untuk pelvis ibu mereka. Dalam kes ini, pembedahan caesarean elektif mungkin memperbaiki hasil rawatan. Bentuk-bentuk pelvimetri termasuk pelvimetri radiologi (X-ray, imbasan tomografi berkomputer (CT) atau pengimejan resonans magnetik (MRI)) dan pemeriksaan klinikal wanita. Kami merancang untuk memasukkan semua kajian yang membandingkan pelvimetri klinikal atau radiologi (X-ray, CT atau MRI) dengan tiada pelvimetri, atau pelbagai jenis pelvimetri
Mengapa ini penting?
Kadang-kadang, pelahiran biasa tidak dapat berterusan kerana kepala bayi terlalu besar, atau pelvis ibu terlalu kecil, untuk bayi melaluinya. Ini dipanggil "ketakpadanan sefalopelvis" atau "proses pelahiran terhalang" yang boleh membawa kepada pembedahan kecemasan caesarean dengan kemungkinan risiko bagi kedua-dua ibu dan bayi. Seorang ibu hamil atau penjaganya mungkin berasa bimbang ketakpadanan boleh berlaku dan oleh itu, pelvimetri boleh dilakukan sama ada sebelum atau semasa pelahiran. Ia boleh dilakukan dengan pemeriksaan klinikal, X-ray, imbasan CT atau MRI. Pelvimetri mengukur garis pusat pelvis dan kepala bayi. Walau bagaimanapun, melakukan pelvimetiy juga mempunyai implikasi: pemeriksaan klinikal mungkin sangat tidak selesa untuk ibu, X-ray dan imbasan CT mungkin berbahaya kepada bayi dan MRI adalah sangat mahal. Semua teknik-teknik ini perlu dilakukan dengan teliti oleh orang-orang yang berpengalaman dan berkemahiran untuk mendapat nilai sebenar.
Jika kita boleh mendiagnosis dengan tepat ketakpadanan sebelum bersalin dengan menggunakan pelvimetri, kita mungkin boleh mengurangkan keperluan untuk pembedahan kecemasan caesarean dan merancang untuk prosedur elektif, dengan hasil yang lebih baik untuk bayi dan kurang komplikasi untuk ibu.
Apakah bukti yang kita dapati?
Kami mencari bukti pada 30 November 2016 dan mengenal pasti lima kajian dengan jumlah 1159 wanita hamil. Kesemua lima kajian menggunakan pelvimetri X-ray berbanding dengan tiada pelvimetri X-ray.
Wanita yang menerima pelvimetri X-ray adalah lebih cenderung untuk pembedahan caesarean (bukti kualiti rendah). Sama ada seorang wanita mendapat pelvimetri atau tidak, kami tidak mendapati perbezaan dalam bilangan bayi yang meninggal dunia (kuali bukti sangat rendah), yang tidak mempunyai oksigen yang cukup semasa proses pelahiran, atau dimasukkan di unit khas penjagaan bayi (kualiti bukti yang sangat rendah). Bagi wanita-wanita tersebut, tiada perbezaan ditemui antara bilangan wanita dengan sepsis luka, mereka yang menerima transfusi darah, atau mereka dengan parut pembedahan caesarean yang mula terurai (kesemua bukti berkualiti sangat rendah). Skor apgar yang kurang dari tujuh pada masa lima minit tidak dilaporkan dalam mana-mana kajian.
Apakah maksudnya?
Terdapat bukti yang terlalu sedikit (majoriti adalah berkualiti rendah) untuk menunjukkan sama ada ukuran saiz pelvis wanita (pelvimetri) bermanfaat dan selamat apabila bayi berada dalam kedudukan kepala ke bawah. Bilangan wanita untuk pembedahan caesarean meningkat jika wanita tersebut mempunyai X-ray pelvimetri tetapi tiada cukup bukti yang berkualiti baik untuk menunjukkan jika pelvimetri memperbaiki hasil untuk bayi. Lebih banyak penyelidikan diperlukan.
Diterjemahkan oleh Nila P illai (Penang Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi nila@pmc.edu.my.