Rawatan pesakit dalam (unit strok) yang teratur

Soalan ulasan
Adakah rawatan pesakit dalam yang teratur (unit strok) dapat meningkatkan pemulihan pesakit strok di hospital berbanding dengan rawatan konvensional di wad umum?

Latar belakang
Penjagaan pesakit dalam (unit strok) yang teratur adalah bentuk penjagaan yang disediakan di hospital oleh jururawat, doktor, dan ahli terapi yang pakar dalam menjaga orang yang mengalami strok. Mereka bertujuan untuk bekerja sebagai pasukan yang berkoordinasi untuk memberikan penjagaan yang paling tepat yang disesuaikan dengan keperluan individu yang mengalami strok.

Ciri-ciri kajian
Kami mengenal pasti 29 kajian yang melibatkan 5902 peserta (carian selesai pada 2 April 2019). Peserta yang direkrut mengalami strok baru-baru ini dan memerlukan kemasukan ke hospital. Penjagaan pesakit dalam (unit strok) yang teratur diberikan dengan pelbagai cara termasuk wad strok (penjagaan disediakan di wad strok terasing), wad pemulihan campuran (persekitaran yang berusaha untuk meningkatkan penjagaan bagi orang yang mengalami strok dalam wad pemulihan campuran), dan pasukan bergerak strok (pasukan peripatetik yang menjaga orang yang mengalami strok di pelbagai wad).

Keputusan utama
Purata 12 bulan selepas mereka mengalami strok, orang yang mendapat penjagaan pesakit dalam (unit strok) yang teratur adalah lebih cenderung untuk hidup (dua orang tambahan yang masih hidup untuk setiap 100 yang menerima penjagaan di unit strok; bukti berkualiti sederhana) dan tinggal di rumah (enam pesakit tambahan untuk setiap 100 yang menerima penjagaan di unit strok; bukti berkualiti sederhana). Mereka juga lebih cenderung untuk berdikari dalam aktiviti harian (tambahan enam pesakit dari setiap 100 yang menerima penjagaan di unit strok: bukti berkualiti sederhana). Manfaat jelas dapat dilihat pada lelaki dan wanita, pesakit yang tua dan muda, dan pesakit dengan pelbagai jenis strok dan keparahan strok yang berbeza. Manfaatnya paling jelas apabila unit strok adalah berpusat di wad strok terasing.

Bukti kualiti
Kami menurunkan bukti kualiti menjadi 'sederhana' untuk hasil utama kerana adalah mustahil untuk menyembunyikan perkhidmatan rawatan daripada peserta atau pekerja kesihatan. Rumusan ini tidak bergantung kepada kajian yang telah dinilai sebagai berkualiti rendah akibat reka bentuk yang lemah atau data yang tidak lengkap. Terdapat lebih banyak maklumat yang tidak lengkap tentang ukuran hasil dan analisis yang lain, dimana kami telah turunkan kepada bukti berkualiti rendah.

Kesimpulan
Pesakit strok yang mendapat penjagaan pesakit dalam (unit strok) yang teratur adalah cenderung untuk hidup, tinggal di rumah, dan berdikari untuk menjaga diri mereka satu tahun selepas strok mereka. Manfaat nyata dapat dilihat pada sebilangan besar pesakit strok. Pelbagai jenis unit strok telah dibentuk. Hasil terbaik nampaknya berasal dari unit strok yang berpusat di wad strok khusus.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Nur Maziah Hanum Osman (pelajar pascasiswazah Universiti Putra Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information