Antibiotik untuk jangkitan telinga tengah akut (otitis media akut) dalam kalangan kanak-kanak

Mesej utama
Di negara berpendapatan tinggi, kebanyakan kanak-kanak dengan otitis media akut (AOM) pulih secara spontan tanpa komplikasi, dan berbanding antibiotik plasebo tiada kesan awal terhadap sakit dan hanya sedikit kesan sakit pada hari-hari berikutnya.

Sebarang manfaat antibiotik perlu dipertimbang dengan kemungkinan mudarat: bagi setiap 14 kanak-kanak yang dirawat dengan antibiotik seorang kanak-kanak mengalami kejadian buruk (seperti muntah, cirit-birit atau ruam) yang tidak akan berlaku jika antibiotik tidak diberikan.

Bagi kebanyakan kanak-kanak dengan penyakit ringan di negara berpendapatan tinggi, pendekatan pemerhatian jangkaan dilihat wajar.

Apakah AOM?
AOM atau jangkitan telinga tengah akut adalah salah satu penyakit yang paling lazim pada awal masa bayi dan kanak-kanak, menyebabkan sakit dan gejala umum penyakit seperti demam, kerengsaan dan masalah makan dan tidur.

Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin tahu jika antibiotik berkesan untuk melegakan tanda dan gejala dalam kalangan kanak-kanak dengan AOM.

Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang melihat keberkesanan antibiotik berbanding plasebo atau pemerhatian jangkaan (menunggu berjaga-jaga) dalam kalangan kanak-kanak berumur dari satu bulan hingga 15 tahun dengan AOM. Kami membanding dan merumus keputusan-keputusan kajian, dan menilai keyakinan terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah kajian dan kesan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?
Kami mendapati antibiotik tidak mengurangkan bilangan kanak-kanak yang mengalami sakit pada 24 jam (apabila 60% kanak-kanak pulih atau bertambah baik), hanya mengurangkan sedikit bilangan kanak-kanak yang sakit pada hari-hari berikutnya, dan tidak mengurangkan bilangan kanak-kanak dengan AOM berulang lewat berbanding plasebo. Walau bagaimanapun, antibiotik mengurangkan sedikit bilangan kanak-kanak dengan perforasi gegendang telinga dan episod AOM di telinga yang mulanya tidak terlibat berbanding plasebo. Antibiotik mengurangkan bilangan kanak-kanak dengan dapatan timpanometri abnormal (ujian untuk menilai sejauh mana telinga tengah berfungsi) pada dua hingga empat minggu tetapi tidak selepas enam hingga lapan minggu dan tiga bulan.

Tiada cukup maklumat untuk mengetahui jika antibiotik mengurangkan komplikasi yang jarang seperti mastoiditis (jangkitan tulang di sekitar telinga). Semua kajian yang disertakan dalam ulasan ini adalah daripada negara berpendapatan tinggi. Kurang data daripada populasi di mana insiden dan risiko progresi AOM kepada mastoiditis adalah lebih tinggi.

Antibiotik menyebabkan kesan yang tidak diingini seperti cirit-birit, muntah dan ruam. Adalah sukar untuk mengimbangkan manfaat kecil berbanding mudarat kecil antibiotik dalam kalangan kanak-kanak dengan AOM. Walau bagaimanapun, bagi kebanyakan kanak-kanak dengan penyakit ringan di negara berpendapatan tinggi, pendekatan pemerhatian jangkaan dilihat wajar.

Apakah batasan-batasan bukti?
Daripada ulasan antibiotik terhadap plasebo, kami yakin antibiotik tiada kesan ke atas sakit dalam 24 jam pertama dan hanya sedikit kesan pada hari-hari berikutnya. Kami hanya sederhana yakin antibiotik mengurangkan sakit yang dialami 10 hingga 12 hari selepas penilaian pertama kanak-kanak dibuat. Keyakinan kami adalah sederhana kerana hanya satu kajian melaporkan keputusan ini daripada analisis sekunder. Kami sederhana yakin antibiotik mengurangkan bilangan kanak-kanak dengan keputusan timpanometri abnormal selepas dua hingga empat minggu, tetapi ia tidak mengurangkan risiko pada tiga bulan. Kami yakin antibiotik meningkatkan risiko kesan yang tidak diingini.

Untuk ulasan antibiotik segera berbanding pemerhatian jangkaan, kami sedikit yakin antibiotik segera mengurangkan sakit dua hingga tiga hari selepas penilaian dan sederhana yakin antibiotik segera mungkin tidak mengurangkan sakit pada tiga hingga tujuh hari. Keyakinan kami terhad kerana kebimbangan tentang bagaimana sesetengah kajian dijalankan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti kami adalah terkini sehingga 14 Februari 2023. Penemuan kemas kini ini konsisten dengan versi ulasan terdahulu.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ini (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information