Tambahan garam galian zink bagi menambah baik kesihatan kehamilan dan bayi

Apakah isunya?

Di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana, ramai wanita mempunyai diet yang kurang berkualiti dan kekurangan mikronutrien yang diperlukan untuk kesihatan yang baik. Hal ini amat membimbangkan terutamanya apabila mereka hamil, dimana jumlah tenaga dan nutrien lebih besar diperlukan bagi ibu dan bayi yang sedang membesar. Zink memainkan peranan penting terhadap tumbesaran dan perkembangan yang normal. Kekurangan zink boleh membawa kesan buruk terhadap kesihatan bayi, seperti bayi dilahirkan terlalu awal atau terlalu kecil.

Ulasan ini adalah kemaskini daripada ulasan yang diterbitkan pertama kalinya pada tahun 1997, dan seterusnya dikemas kini pada tahun 2007, 2012 dan 2015.

Mengapakah ini penting?

Walaupun kekurangan zink yang teruk jarang berlaku, dianggarkan bahawa kekurangan zink tahap ringan hingga sederhana sering terjadi di beberapa tempat di seluruh dunia. Kajian mengenai kehamilan manusia dan manafaat pengambilan zink, termasuk dari negara-negara yang berpendapatan rendah dan sederhana, gagal mendokumentasikan kesan bermanfaat yang konsisten terhadap pertumbuhan janin, tempoh kehamilan dan kelangsungan hidup bayi di awal usia kelahiran.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami mencari kajian-kajian pada Julai 2020. Ulasan kemaskini ini melibatkan 25 kajian rawak terkawal yang melibatkan 18,000 wanita dan bayi mereka. Kami mendapati bahawa tambahan zink pada tempoh kehamilan hanya membawa sedikit atau tiada perbezaan dalam mengurangkan risiko kelahiran pramatang, kelahiran mati, atau kematian semasa waktu kelahiran, jika dibandingkan dengan tiada tambahan zink atau plasebo. Tambahan zink boleh membawa sedikit atau tiada perbezaan pada berat lahir bayi, dan mungkin sedikit atau tiada perbezaan terhadap jumlah bayi yang lahir sama ada dengan berat lahir rendah atau kecil untuk usia kehamilan mereka, jika dibandingkan dengan tidak ada tambahan zink, atau dengan memberikan plasebo. Kami tidak pasti sama ada tambahan zink mengurangkan kematian pada bayi baru lahir, kerana kepastian buktinya sangat rendah.

Apakah maksudnya?

Tidak ada bukti yang mencukupi bahawa tambahan zink semasa tempoh kehamilan membawa kepada hasil kesihatan yang lebih baik bagi wanita dan bayi mereka. Mencari kaedah untuk meningkatkan status nutrisi wanita secara keseluruhan, terutamanya di kawasan yang berpendapatan rendah, akan lebih banyak membantu meningkatkan kesihatan ibu dan bayi daripada memberi tambahan zink kepada wanita hamil sahaja. Ini harus menjadi keutamaan penyelidikan segera untuk masa depan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (Pusat Perubatan Universiti Malaya). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia) . Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information