Adakah suplemen vitamin dan mineral antioksidan memperlahankan perkembangan degenerasi makula yang berkaitan dengan umur (AMD)?

Mesej utama
- Pengambilan suplemen multivitamin antioksidan mungkin memperlahankan perkembangan degenerasi makula yang berkaitan dengan umur (AMD), penyakit mata yang mengaburkan penglihatan pusat anda.

- Orang dengan AMD pertengahan mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk mendapat manfaat daripada suplemen antioksidan kerana risiko perkembangan mereka lebih tinggi daripada orang dengan AMD peringkat awal.

- Walaupun suplemen vitamin secara amnya dianggap selamat, kajian yang terlibat dalam ulasan ini tidak menunjukkan bukti yang baik tentang keselamatannya kerana saiz mereka secara umumnya terlalu kecil.

Apakah itu kemerosotan makula yang berkaitan dengan peningkatan usia?

Degenerasi makula yang berkaitan dengan umur (AMD) ialah penyakit mata yang mengaburkan penglihatan pusat anda. Ia biasanya hanya didiagnosis pada orang yang berumur 50 tahun dan ke atas. AMD menjejaskan kawasan pertengahan (makula) belakang mata (retina), kerana makula merosot dengan umur.

Pada peringkat awal AMD, tompok kuning (dipanggil drusen) boleh dilihat di bawah retina oleh pakar kesihatan mata. Orang yang terjejas mungkin tidak menyedari bahawa mereka mempunyai masalah. Apabila penyakit berkembang, drusen akan menjadi lebih besar (AMD pertengahan). Pada peringkat akhir penyakit, mungkin terdapat kehilangan sel – diperlukan untuk penglihatan – di belakang mata. Ini dikenali sebagai atrofi geografi. Kadang-kala, salur darah baru (berbahaya) tumbuh pada makula. Saluran darah baru ini mungkin akan berdarah dan menyebabkan parut. Ini dikenali sebagai AMD neovaskular. AMD neovaskular dan geografi atrofi dikenali sebagai AMD peringkat lewat.

Mengapakah vitamin dan mineral antioksidan membantu?

Vitamin dan mineral antioksidan mungkin membantu dalam melindungi makula daripada kemerosotan ini dan kehilangan penglihatan. Antioksidan ialah molekul semula jadi yang boleh menghalang atau memperlahankan beberapa jenis kerosakan sel. Vitamin C dan E, beta-karotena, lutein, zeaxanthin, dan zink adalah contoh vitamin antioksidan yang biasa dijumpai dalam suplemen vitamin.

Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui sama ada suplemen vitamin dan mineral antioksidan memperlahankan perkembangan degenerasi makula yang berkaitan dengan umur (AMD) dan mencegah kehilangan penglihatan.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan suplemen vitamin dan mineral antioksidan dengan plasebo (rawatan 'dummy' yang tidak mengandungi sebarang suplemen) atau tanpa rawatan. Kami hanya melihat kesan suplemen-suplemen ini pada orang yang mempunyai AMD. Terdapat satu lagi ulasan Cochrane mengkaji kesan suplemen ini pada orang yang tiada AMD. Kami membanding dan merumuskan hasil kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 26 kajian dari AS, Eropah, China, dan Australia yang mendaftarkan 11,952 orang dengan AMD. Kajian-kajian ini membandingkan suplemen multivitamin, zink, vitamin E, lutein (dengan atau tanpa zeaxanthin) dengan plasebo. Peserta berumur 65 hingga 75 tahun dan terdapat lebih ramai wanita berbanding lelaki dalam kajian tersebut.

Penemuan utama

• Pengambilan suplemen multivitamin antioksidan (formula AREDS yang mengandungi vitamin E dan C, beta-karotena ditambah zink) mungkin melambatkan perkembangan AMD kepada AMD lewat dan kehilangan penglihatan. Keputusan ini mungkin menyebabkan sedikit penambahbaikan dalam kualiti hidup.

• Orang dengan AMD pertengahan mempunyai risiko peningkatan yang lebih tinggi kepada AMD lewat dan mungkin lebih berkemungkinan mendapat manfaat daripada suplemen (78 kes berkurang perkembangan untuk setiap 1000 orang yang mengambil suplemen). Orang dengan AMD peringkat awal mempunyai risiko perkembangan yang rendah dan mungkin kurang mendapat manfaat (4 kes berkurang perkembangan kepada AMD lewat bagi setiap 1000 orang yang mengambil suplemen).

• Lutein dengan atau tanpa zeaxanthin mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan pada perkembangan AMD lewat tetapi mungkin merupakan pengganti yang sesuai untuk beta-karotena dalam formula AREDS. Beta-karotena mungkin meningkatkan peluang kanser paru-paru pada orang yang telah merokok.

• Kesan vitamin E sahaja terhadap perkembangan AMD lewat dan kehilangan penglihatan adalah tidak pasti.

Walaupun suplemen vitamin secara amnya dianggap selamat, kajian yang disertakan dalam ulasan ini tidak memberikan bukti yang baik tentang keselamatan kerana kebanyakan kajian adalah kecil dan melaporkan kesan berbahaya secara tidak konsisten.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami terhadap bukti adalah dari sederhana hingga sangat rendah. Ini kerana kebanyakan kajian yang disertakan adalah kecil, dan mereka tidak merangkumkan semua perbandingan dan hasil yang kami minati.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Ulasan ini mengemaskini ulasan kami yang terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga 29 November 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information