Audit dan maklum balas: kesan ke atas amalan profesional dan hasil keputusan pesakit

Para penyelidik dalam The Cochrane Collaboration telah menjalankan ulasan untuk menilai kesan audit dan maklum balas ke atas tingkah laku ahli profesional kesihatan dan kesihatan pesakit mereka. Setelah mencari kesemua kajian yang berkaitan, mereka menemui 140 kajian yang memenuhi keperluan ulasan. Penemuan mereka diringkaskan seperti di bawah.

Penggunaan audit dan maklum balas bagi mempengaruhi tingkah laku ahli profesional kesihatan dan kesihatan pesakit

Di dalam proses audit dan maklum balas, amalan profesional atau prestasi setiap individu diukur dan kemudian dibandingkan dengan piawaian profesional atau sasaran. Dalam erti lain, prestasi profesional mereka diaudit. Keputusan perbandingan ini kemudiannya disampaikan kepada individu tersebut. Tujuan proses ini adalah bagi menggalakkan individu berkenaan untuk mengikut piawaian profesional.

Audit dan maklum balas kerap digunakan dalam organisasi penjagaan kesihatan bagi menambahbaik prestasi ahli-ahli profesional kesihatan. Ianya kerap digunakan bersama intervensi lain, seperti pertemuan pendidikan ataupun peringatan.  Kebanyakan kajian dalam ulasan ini mengukur kesan audit dan maklum balas ke atas doktor, walaupun beberapa kajian telah mengukur kesan ke atas jururawat atau ahli farmasi.  Audit dan maklum balas telah digunakan untuk mempengaruhi prestasi mereka dalam bahagian-bahagian yang berbeza, termasuk penggunaan rawatan secara betul atau ujian makmal atau menambahbaik keseluruhan pengurusan pesakit yang mempunyai penyakit kronik seperti penyakit jantung atau kencing manis. 

 Selepas prestasi mereka diukur, ahli profesional kesihatan diberi maklum balas samada secara verbal, bertulis, atau kedua-duanya.  Dalam beberapa kajian, maklum balas ini diberikan kepada mereka oleh penyelidik yang bertanggungjawab dalam kajian, manakala dalam kajian lain, maklum balas diberikan oleh penyelia atau rakan sekerja, oleh organisasi profesional atau oleh wakil majikan mereka. Dalam beberapa kajian, ahli profesional kesihatan telah diberikan maklum balas hanya sekali, manakala yang lain diberikan maklum balas sekali setiap minggu atau sekali setiap bulan. 

Dalam beberapa kajian, ahli profesional kesihatan hanya diberi maklumat mengenai prestasi mereka dibandingkan dengan piawaian profesional ataupun sasaran. Dalam kajian lain, ahli profesional kesihatan juga telah diberikan sasaran tertentu yang perlu dicapai secara individu, atau telah diberikan satu pelan tindakan bersama cadangan atau nasihat mengenai cara untuk meningkatkan prestasi mereka.

Apa terjadi apabila ahli profesional kesihatan diberikan audit dan maklum balas?

Kesan penggunaan audit dan maklum balas adalah berbeza-beza dalam keseluruhan kajian yang terlibat. Pada keseluruhannya, ulasan menunjukkan:

Kesan audit dan maklum balas ke atas tingkahlaku profesional dan kesan ke atas hasil keputusan pesakit berkisar dari sedikit atau tiada kesan sehingga kesan yang ketara. Kualiti bukti adalah sederhana.

Audit dan maklum balas mungkin paling berkesan bilamana:

1. ahli profesional kesihatan tidak mempunyai prestasi yang baik pada permulaannya;

2. pegawai yang bertanggung jawab ke atas audit dan maklum balas merupakan penyelia atau rakan sekerja;

3. ianya dijalankan lebih dari sekali;

4. ianya dijalankan secara verbal dan bertulis;

5. ianya merangkumi sasaran yang jelas dan pelan tindakan.

Sebagai tambahan, kesan audit dan maklum balas mungkin dipengaruhi oleh jenis tingkah laku yang disasarkan. Adalah tidak jelas samada audit dan maklum balas adalah lebih berkesan bila digabungkan bersama intervensi lain.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Azlan Husin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my.

Tools
Information