Penambahan karbohidrat kepada susu ibu untuk menggalakkan pertumbuhan bayi pramasa

Soalan ulasan

Adakah tambahan karbohidrat kepada susu ibu yang diberi kepada bayi pramasa berbanding tiada karbohidrat tambahan meningkatkan pertumbuhan, lemak badan, obesiti, masalah jantung, gula darah tinggi, dan perkembangan otak tanpa menyebabkan kesan sampingan yang ketara?

Latar belakang

Pengambilan karbohidrat yang tidak mencukupi dalam kalangan bayi pramasa boleh mengakibatkan pertumbuhan dan perkembangan yang lemah. Susu ibu adalah makanan terbaik untuk bayi pramasa, tetapi hanya memberi susu ibu mungkin tidak memberi nutrisi yang cukup. Menambah karbohidrat kepada susu ibu mungkin membantu. Walau bagaimanapun, tiada cukup data untuk menilai manfaat dan mudarat menambahkan karbohidrat kepada susu ibu untuk menggalakkan pertumbuhan bayi pramasa.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati satu kajian melibatkan 75 bayi pramasa dengan bukti berkualiti sangat rendah tentang kesan menambahkan prebiotik ekstra (sejenis karbohidrat) kepada susu ibu dalam kalangan bayi pramasa . Penerbitan kedua oleh pengarang kajian yang sama melaporkan pelbagai kaedah pembutaan dan perawakan kajian. Penulis kajian mengesahkan bahawa penerbitan tersebut menerangkan kajian yang sama tetapi belum menjelaskan kaedah mana yang tepat. Kami tidak dapat menghasilkan analisis data yang dikemukakan. Carian adalah terkini sehingga Ogos 2019.

Dapatan utama

Penambahan karbohidrat prebiotik meningkatkan purata berat badan bayi pramasa pada hari 30 dan menghasilkan jangkamasa tinggal di hospital yang lebih pendek berbanding kumpulan kawalan. Tiada bukti menunjukkan perbezaan yang jelas dalam risiko intoleransi makan atau enterokolitis nekrosis di antara kumpulan-kumpulan yang ditambah prebiotik dan tidak ditambah. Tiada data lain untuk menunjukkan kesan menambah ekstra karbohidrat kepada susu ibu kepada pertumbuhan jangka pendek dan jangka panjang, lemak badan, obesiti, perkembangan otak, dan masalah jantung.

Kesimpulan

Bukti tentang kesan jangka pendek dan jangka panjang menambahkan karbohidrat ekstra kepada susu ibu dalam kalangan bayi pramasa masih berkurangan. Ulasan sistematik ini mendapati bukti berkualti sangat rendah tentang kesan menambahkan karbohidrat prebiotik kepada susu ibu dalam kalangan bayi premasa, juga dengan ketidaktentuan tentang kaedah dan analisis. Kajian tunggal tersebut melibatakan sampel kecil bayi pramasa di Iran, oleh itu bukti dianggap tidak umum. Walau bagaimanapun, hasil yang dinilai adalah lazim bagi semua bayi pramasa, dan kajian menunjukkan penambahan karbohidrat prebiotik kepada susu ibu adalah mungkin di negara-negara membangun. Penyelidikan lanjut diperlukan untuk menilai manfaat dan mudarat pelbagai jenis dan kepekatan karbohidrat tambahan untuk bayi pramasa yang diberi susu ibu. Buat masa ini, penambahan karbohidat yang mudah cerna dalam kalangan bayi pramasa diberi sebagai komponen mutltinutrien penguatan susu ibu.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information