Apakah matlamat ulasan ini?
Untuk mengetahui sekiranya menyediakan hospital discaj awal di rumah dapat meningkatkan kualiti kesihatan pesakit dan mengurangkan kos perkhidmatan kesihatan, berbanding dengan rawatan dalam hospital.
Mesej utama
Berbanding dengan rawatan dalam hospital, hospital discaj awal di rumah mungkin membuat perbezaan yang sedikit atau tiada perbezaan kepada kualiti kesihatan pesakit, atau keperluan dimasukkan semula ke dalam hospital, dan mungkin mengurangkan tempoh penginapan di hospital dan kemungkinan dimasukkan ke sebuah institusi seperti institusi penjagaan di rumah. Pesakit yang menerima rawatan di rumah mungkin akan lebih berpuas hati dengan penjagaan yang diterima. Kesan ke atas kos perkhidmatan kesihatan adalah tidak pasti.
Apa yang telah dikaji dalam ulasan ini?
Salah satu cara untuk menangani masalah permintaan katil hospital adalah dengan mengurangkan tempoh penginapan hospital dengan mendiscajkan pesakit lebih awal untuk menerima penjagaan kesihatan di rumah. Kami mengkaji penulisan tentang kesan menyediakan hospital discaj awal di rumah secara sistematik. Perkhidmatan ini lazimnya disediakan oleh pasukan penjagaan kesihatan profesional, termasuk doktor, jururawat dan ahli fisioterapi. Pasukan tersebut akan melawat rumah pesakit-pesakit yang telah didiscaj lebih awal bagi memberi penjagaan hospital akut di rumah masing-masing. Kami berminat menilai kesan hospital discaj awal di rumah kepada kualiti kesihatan pesakit dan kos perkhidmatan kesihatan. Ini adalah kemaskini ulasan Cochrane.
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Penulis-penulis ulasan telah menemui 32 kajian, enam daripadanya adalah baru bagi pengemaskinian ini. Secara keseluruhan, 4746 orang dari dua belas buah negara telah mengambil bahagian dalam kajian-kajian tersebut. Kebanyakan intervensi ini adalah disampaikan oleh perkhidmatan hospital dan perkhidmatan berasaskan komuniti. Kebanyakan kajian telah direka bentuk dan dijalankan dengan baik. Kajian-kajian ini melihat kesan perkhidmatan ini dalam pesakit dengan pelbagai jenis masalah: pesakit yang mempunyai strok, pesakit yang lebih tua dengan pelbagai jenis masalah kesihatan, dan pesakit yang telah menjalani pembedahan. Kajian-kajian ini menunjukkan bahawa, jika dibandingkan dengan rawatan dalam hospital, perkhidmatan hospital discaj awal di rumah mungkin membuat sedikit perbezaan atau tiada perbezaan terhadap kesihatan pesakit atau kemungkinan perlu dimasukkan semula ke hospital, tetapi mungkin akan mengurangkan tempoh penginapan di hospital. Pesakit yang menerima rawatan di rumah mungkin akan lebih berpuas hati dan juga mengurangkan kemungkinan untuk dimasukkan ke institusi penjagaan. Terdapat sedikit bukti tentang penjimatan kos hospital tentang perkhidmatan hospital discaj awal di rumah.
Adakah ulasan ini terkini?
Penulis-penulis ulasan ini telah mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga ke 9 Januari 2017.
Diterjemahkan oleh Teoh Ru Jian Jonathan (Penang Medical College). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi jonathanteoh_c2017@ms.pmc.edu.my.