Immunoglobulin intravena untuk mencegah jangkitan bayi lahir pramasa dan/atau berat badan rendah

Bayi mungkin mendapat jangkitan semasa di dalam rahim atau di hospital selepas kelahiran, terutamanya yang memerlukan penjagaan rapi. Jangkitan itu boleh menyebabkan penyakit yang serius atau kematian. Pengaliran imunoglobulin (bahan di dalam darah yang boleh melawan jangkitan) dari ibu kepada janin berlaku terutamanya selepas 32 minggu gestasi, dan bayi tidak memulakan pengeluaran imunoglobulin sehingga beberapa bulan selepas kelahiran. Secara teori, kesan buruk jangkitan dapat dikurangkan melalui pemberian immunoglobulin intravena pencegahan. Sehingga ini, hampir 5000 bayi telah didaftarkan dalam kajian yang dijalankan untuk menilai kesan penggunaan immunoglobulin intravena profilaktik ke atas hasil neonatal. Pemberian immunoglobulin intravena menghasilkan pengurangan 3% jangkitan bawaan darah dan penurunan 4% jangkitan yang serius. Pemberian immunoglobulin intravena tidak dikaitkan dengan pengurangan hasil neonatal penting yang lain atau tempoh penginapan hospital. Yang paling penting, pemberian immunoglobulin intravena tidak mempunyai sebarang kesan penting ke atas kematian. Penggunaan IVIG profilaktik tidak dikaitkan dengan sebarang kesan sampingan jangka pendek yang serius. Daripada perspektif klinikal, pengurangan 3% hingga 4% dalam jangkitan nosokomial tanpa pengurangan kematian atau hasil klinikal lain yang penting adalah berkepentingan marginal.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi LokeTimKhaw@imu.edu.my

Tools
Information