Nitrik oksida untuk kegagalan pernafasan bayi yang lahir pada atau berhampiran jangka masa kelahiran

Soalan ulasan: Adakah sedutan gas nitrik oksida, sebagai tambahan kepada terapi standard, memberi manfaat kepada bayi yang lahir pada jangka masa penuh kehamilan dan menghidap penyakit paru-paru yang membawa kepada tahap oksigen rendah dalam darah? Khususnya, adakah ia mengurangkan kadar kematian atau bilangan bayi yang memerlukan rawatan ECMO yang sangat invasif?

Latar belakang: Nitrik oksida ialah molekul semula jadi yang mengendurkan saluran darah dan menjadi aktif dalam paru-paru apabila bercampur dengan gas-gas semasa seseorang pesakit bernafas.

Ciri-ciri kajian: Dalam carian yang dikemaskini sehingga Februari 2016, pengarang ulasan telah mengenal pasti sejumlah 17 kajian untuk dimasukkan dalam ulasan. Kebanyakan keputusan yang dilaporkan dalam ulasan ini diperolehi daripada 10 kajian berkualiti sederhana ke tinggi, yang membandingkan sedutan nitrik oksida (iNO) dengan terapi standard tanpa iNO. Enam kajian membandingkan iNO yang dimulakan apabila bayi kurang tenat berbanding menunggu sehingga keadaan bertambah teruk dan memberi rawatan kemudiannya. Kajian-kajian tersebut adalah lebih kecil, dan hanya satu kajian yang berkualiti tinggi.

Keputusan utama:Sedutan nitrik oksida adalah selamat dan boleh membantu sesetengah bayi yang lahir cukup bulan dengan kegagalan pernafasan yang tiada respon kepada kaedah sokongan lain. Sedutan nitrik oksida meningkatkan tahap oksigen dalam darah bayi, dan bayi lebih cenderung untuk terus hidup tanpa memerlukan ECMO, suatu terapi yang sangat invasif dengan pelbagai komplikasi. Malangnya, manfaat iNO tidak jelas pada bayi yang kegagalan pernafasannya adalah akibat diafragma hernia. Sedutan nitrik oksida tidak menunjukkan sebarang kesan buruk jangka pendek atau jangka panjang. Tiada tanda-tanda menunjukkan bahawa iNO yang diberi pada awalnya, lebih bermanfaat atau menyebabkan lebih ramai bayi dirawat, dan bilangan bayi yang mati atau yang memerlukan ECMO tidak dikurangkan dengan ketara.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Foo Sook Lee (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi fslee@pmc.edu.my. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal).

Tools
Information