Mesej utama
- Tiada bukti yang mencukupi untuk memberitahu sama ada pergerakan awal lengan selepas seminggu dalam anduh boleh membuat perbezaan kepada fungsi bahu untuk jangkamasa panjang atau perkembangan masalah bahu berbanding dengan sokongan lengan dalam anduh selama tiga minggu atau lebih.
- Pesakit melaporkan bahawa pembedahan tidak menghasilkan fungsi bahu yang lebih baik untuk kebanyakan jenis kepatahan ‘displaced’ (di mana bahagian yang patah telah terpisah) berbanding rawatan tanpa pembedahan. Walau bagaimanapun, ia boleh mengakibatkan risiko lebih tinggi untuk komplikasi bagi pembedahan susulan.
- Jika pembedahan dijalankan, tiada bukti yang mencukupi untuk menyatakan apakah kaedah terbaik.
Apakah kepatahan humeral proksimal?
Humerus proksimal adalah hujung atas tulang lengan atas. Kepatahan humerus proksimal adalah kecederaan biasa dan serius bagi orang yang lebih tua. Ia sering dipanggil bahu patah (fraktur). Ia boleh mengambil masa beberapa bulan untuk pesakit pulih dan sedia menggunakan lengan mereka. Sekatan semasa pergerakan dan kesakitan adalah masalah jangka panjang yang biasa.
Apakah kaedah biasa untuk merawat fraktur sedemikian?
Rawatan termasuk:
- rawatan bukan pembedahan: lengan yang cedera disokong dalam anduh selama satu atau lebih minggu;
- pembedahan: digunakan untuk fraktur 'displaced', di mana bahagian yang patah telah bergerak dan berpisah. Pembedahan mungkin melibatkan pembetulan posisi tulang ke tempat asal dan memasang dengan skru dalam plat logam atau dengan paku dalam sumsum tulang. Sebagai alternatif, pada orang tua, separuh atau semua sendi bahu bola dan soket mungkin digantikan dengan implan logam. Dalam hemiarthroplasty, hanya bola (kepala humeral) sendi bahu diganti. Penggunaan reverse total shoulder arthroplasty (RTSA) semakin meningkat. Di samping menggantikan keseluruhan sendi, kedudukan bola dan sambungan soket diterbalikkan dalam RTSA. Selepas pembedahan, lengan yang cedera pada mulanya disokong dalam anduh.
Semua rawatan diikuti dengan rehabilitasi.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui cara terbaik memulihkan fungsi bahu dan mengelakkan kesan berbahaya akibat rawatan pada orang dewasa dengan fraktur bahu.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari pangkalan data perubatan untuk kajian yang melihat pengurusan fraktur bahu pada orang dewasa. Kami kemudiannya merumuskan keputusan untuk perbandingan berbeza, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang telah kami temui?
Kami menemui 47 kajian yang melibatkan sejumlah 3179 orang dewasa dengan fraktur bahu. Kajian-kajian tersebut dijalankan di 21 negara. Kebanyakan kajian mengikuti orang selama sekurang-kurangnya satu tahun. Kebanyakan orang berumur 60 tahun dan ke atas; lebih dua pertiga adalah wanita. Dua belas kajian menilai rawatan bukan pembedahan; 10 kajian membandingkan pembedahan dengan rawatan bukan pembedahan; 23 membandingkan dua kaedah pembedahan; dan 2 kajian menguji masa mobilisasi selepas pembedahan.
Hasil-hasil utama
Di sini kita memberi tumpuan kepada tiga soalan utama.
1. Adakah lebih baik untuk menggerakkan bahu dalam masa seminggu selepas fraktur atau melambatkan pergerakan selama tiga minggu atau lebih?
Disebabkan oleh bukti terhad daripada lima kajian bukan pembedahan, kami tidak pasti sama ada pergerakan awal lengan memulihkan atau tidak memberi sebarang perbezaan kepada fungsi bahu jangka panjang atau kepada perkembangan masalah bahu.
2. Adakah pembedahan lebih baik daripada rawatan bukan pembedahan untuk kebanyakan jenis fraktur ‘displaced’?
Sepuluh kajian menguji sama ada pembedahan untuk orang dewasa dengan kebanyakan jenis fraktur ‘displaced’ memberikan hasil yang lebih baik daripada rawatan tanpa pembedahan. Terdapat bukti kukuh tiada perbezaan penting antara rawatan pembedahan dan bukan pembedahan dalam fungsi bahu yang dilaporkan oeh pesakit pada 1 dan 2 tahun, dan mungkin juga pada 6 bulan. Terdapat bukti kukuh tiada perbezaan penting antara kedua-dua rawatan dalam kualiti hidup pada 1 tahun. Tiga puluh satu orang dalam kajian meninggal dunia, tetapi hanya 1 kematian dikaitkan dengan pembedahan. Pembedahan boleh mengakibatkan risiko yang lebih tinggi untuk keperluan pembedahan tambahan dan risiko komplikasi yang lebih tinggi. Walau bagaimanapun, terdapat juga kemungkinan kecil lebih banyak masalah bahu selepas rawatan tanpa pembedahan.
3. Apakah kaedah pembedahan yang terbaik?
Kami memilih dua perbandingan utama.
- Empat kajian membandingkan plet dengan paku untuk penetapan pembedahan selepas tulang disatukan semula. Pilihan pembedahan mungkin tidak memberi perbezaan kepada fungsi bahu. Bukti yang sangat terhad bermakna kami tidak pasti sama ada pilihan pembedahan mempengaruhi kualiti hidup, kesan berbahaya atau keperluan untuk pembedahan tambahan.
- Dua kajian yang membandingkan RTSA dengan hemiarthroplasty mendapati fungsi bahu bertambah baik pada tahap yang sama, tetapi pembedahan tambahan kurang kerap selepas RTSA. Walau bagaimanapun, tiada bukti yang mencukupi secara keseluruhan untuk memberitahu sama ada satu jenis penggantian lebih baik daripada yang lain.
Apakah batasan bukti yang disertakan?
Kami yakin dengan penemuan, bahawa tiada perbezaan dalam fungsi atau kualiti hidup antara pembedahan dan rawatan bukan pembedahan untuk kebanyakan jenis fraktur ‘displaced’. Kami tidak pasti dengan penemuan lain, kerana tiada bukti yang mencukupi.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini mengemaskini ulasan terdahulu terbitan 2015. Bukti adalah terkini sehingga September 2020.
Diterjemahkan oleh Gurmeet Kaur Albail SIngh. Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my