Apakah soalannya?
Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui jika ‘membrane sweeping’ adalah cara yang selamat dan berkesan untuk mencetus pelahiran pada atau hampir masa bersalin dan jika ia lebih berkesan berbanding kaedah cetusan formal.
Mengapakah ini penting?
Lazimnya, cetusan pelahiran formal ditawarkan kepada wanita yang meneruskan kehamilan yang dianggap mungkin lebih berbahaya bagi ibu atau bayi berbanding kesan buruk pencetusan. Sebab paling lazim untuk mencetus pelahiran formal adalah kehamilan pasca masa (kehamilan yang berterusan sehingga 42 minggu gestasi).
‘Membrane sweeping’ adalah prosedur yang relatif mudah, berkos rendah yang bertujuan mengurangkan penggunaan cetusan pelahiran formal dan boleh dilakukan tanpa keperluan untuk masuk ke hospital. Ia melibatkan klinisian memasukkan satu atau dua jari ke bahagian bawah rahim (serviks) dan menggunakan gerakan menyapu secara bulatan yang berterusan untuk memisahkan membran dari bahagian bawah rahim. Cetusan pelahiran formal melibatkan rangsangan rahim secara buatan dengan ubat-ubatan seperti prostaglandin atau oksitosin atau dengan memecahkan kantung amnion yang menempatkan bayi (memecahkan air ketuban).
Apakah bukti yang kami temui?
Kami mencari bukti pada 25 Februari 2019. Kami memasukkan 44 kajian rawak yang melaporkan penemuan 6940 wanita daripada pelbagai negara termasuk negara-negara yang berpendapatan tinggi, pertengahan dan rendah.
Kajian-kajian tersebut membandingkan ‘membrane sweeping’ dengan tanpa intervensi atau intervensi sham, dan juga membandingkan ‘membrane sweeping’ dengan prostaglandin faraj atau intraserviks, misoprostol oral, oksitosin dan ‘membrane sweeping’ berulang.
Daripada tujuh kajian yang melaporkan pembiayaan kewangan, dua kajian telah melaporkan pembiayaan syarikat farmaseutikal. Secara keseluruhannya, kepastian bukti adalah rendah.
Keputusan utama
Membandingkan dengan tiada intervensi ataupun sham (40 kajian melibatkan 6548 wanita), yang diperuntukkan untuk ‘membrane sweeping’ mungkin lebih cenderung untuk cetusan pelahiran spontan, tetapi kami mendapati tiada perbezaan jelas dengan kelahiran faraj tanpa bantuan. Wanita juga mungkin kurang berkemungkinan untuk melalui cetusan pelahiran formal. Kami juga tidak mendapati perbezaan jelas antara kumpulan-kumpulan yang melalui pembedahan caesarean, penggunaan instrumen untuk kelahiran faraj, atapun ibu dan bayi yang berpenyakit serius atau kematian.
Berbanding prostaglandin faraj atau intra-serviks (empat kajian yang melibatkan 480 wanita), kami mendapati tiada perbezaan dalam sebarang hasil walaupun data adalah terhad.
Kami mendapati tiada cukup data untuk membuat sebarang kesimpulan dalam kajian-kajian yang membandingkan ‘membrane sweeping’ dengan oksitosin intravena, dengan atau tanpa memecahkan air ketuban, atau misoprostol faraj/ oral. Begitu juga dengan perbandingan antara frekuensi ‘membrane sweeping’.
Apakah maksudnya?
‘Membrane sweeping’ dilihat berkesan mempromosi pelahiran tetapi bukti semasa menunjukkan ini tidak secara keseluruhan membawa kepada kelahiran faraj tanpa bantuan. ‘Membrane sweeping’ boleh mengurangkan cetusan pelahiran formal. Hanya tiga kajian melaporkan kepuasan wanita terhadap ‘membrane sweeping’. Wanita melaporkan rasa positif terhadap ‘membrane sweeping’. Walaupun mengakui ia mungkin tidak selesa, mereka merasa manfaatnya lebih besar dari mudarat, dan kebanyakan akan mengesyorkannya kepada wanita lain. Penyelidikan lanjut diperlukan untuk mengesahkan penemuan ulasan kami dan untuk mengenal pasti masa yang sesuai untuk ‘membrane sweeping’ dan sama ada lebih dari satu sapuan akan memberi manfaat. Maklumat lanjut tentang pandangan wanita juga diperlukan.
Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my