Ejen penghalang untuk pencegahan lekatan selepas pembedahan ginekologi

Soalan ulasan

Ulasan kajian ini menilai kesan ejen penghalang terhadap kesakitan pelvis, kadar kelahiran hidup, kadar kehamilan klinikal, pembentukan lekatan, dan skor lekatan (ukuran keterukan lekatan) selepas pembedahan pelvis.

Latar belakang

Masalah yang biasa berlaku selepas pembedahan pelvis adalah terjadinya lekatan, di mana permukaan dua struktur pelvis yang terpisah (contohnya lapisan dalaman dinding pelvis atau organ pelvis seperti rahim, ovari, pundi kencing, atau usus) melekat bersama. Semasa pembedahan pelvis, strategi untuk mengurangkan pembentukan lekatan pelvis termasuk meletakkan penghalang fizikal sintetik di antara struktur pelvis.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 19 kajian terkawal secara rawak (RCT) yang merangkumi sejumlah 1316 wanita yang menjalani pembedahan ginekologi. Kaian-kajian ini menilai pelbagai jenis agen penghalang untuk mencegah lekatan dan membandingkannya antara satu sama lain atau tanpa rawatan. Data adalah terkini sehingga Ogos 2019. Tiga belas RCT melaporkan pembiayaan komersial; kajian lain tidak menyatakan sumber pembiayaan mereka.

Keputusan utama

Tidak ada kajian yang melaporkan kesan agen penghalang yang digunakan semasa pembedahan pelvis terhadap sakit pelvis atau kadar kelahiran hidup dalam kalangan wanita pada usia reproduktif.

Bukti berkualiti rendah menunjukkan bahawa selulosa regenerasi teroksidasi dan membran kolagen dengan polietilena glikol ditambah gliserol mungkin lebih berkesan berbanding tanpa rawatan dalam mengurangkan risiko pembentukan lekatan setelah pembedahan pelvis.

Satu kajian melaporkan kesan membran kolagen dengan polietilena glikol ditambah gliserol pada skor lekatan pasca pembedahan; namun kerana cara data ini dilaporkan, kami tidak dapat menafsirkan sama ada intervensi tersebut memberi sebarang kesan. Tidak ada kajian yang melaporkan kesan selulosa regenerasi teroksidasi terhadap skor lekatan.

Satu kajian melaporkan kesan membran kolagen dengan polietilena glikol ditambah gliserol terhadap kadar kehamilan klinikal; namun bukti ini didapati berkualiti sangat rendah. Kami tidak pasti sama ada intervensi ini menyebabkan kadar kehamilan klinikal lebih tinggi berbanding tanpa rawatan. Tidak ada kajian yang melaporkan kesan sebarang intervensi lain terhadap kadar kehamilan klinikal.

Dua kajian membandingkan kesan polytetrafluoroethylene yang diperluas dan selulosa regenerasi teroksidasi terhadap skor lekatan dan pembentukan lekatan. Walau bagaimanapun, bukti ini didapati berkualiti sangat rendah, dan kami tidak pasti sama ada mana-mana intervensi adalah lebih berkesan berbanding yang lain. Tidak ada kajian yang membandingkan kesan relatif intervensi-intervensi ini terhadap kesakitan pelvis, kadar kelahiran hidup, atau kadar kehamilan klinikal.

Kami tidak menemui bukti konklusif tentang keberkesanan relatif dari sebarang intervensi yang dilaporkan. Tidak ada kesan sampingan buruk yang berkait secara langsung dengan agen lekatan yang dilaporkan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti berkisar dari sangat rendah hingga sederhana. Batasan yang paling biasa adalah ketidaktepatan (sedikit peserta dan selang keyakinan yang luas) dan pelaporan kaedah kajian yang lemah. Kebanyakan kajian dibiayai secara komersial, dan bias penerbitan tidak dapat dielakkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Yean Albert (Manipal Academy of Higher Education). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information