Sedutan nitrik oksida untuk kegagalan pernafasan dalam bayi pramatang

Soalan ulasan: Adakah pemberian sedutan gas nitrik oksida kepada bayi pramatang dengan penyakit pulmonari meningkatkan kelangsungan hidup tanpa kecederaan jangka panjang otak atau paru-paru?

Latar belakang: Kegagalan pernafasan dalam bayi pramatang yang baru lahir mungkin menjadi rumit dengan peningkatan tekanan dalam saluran yang membawa darah ke paru-paru (hipertensi pulmonari). Ventilasi bantuan secara mekanikal digunakan untuk menyokong bayi tersebut, dan ubat penenang boleh diberikan. Sedutan gas nitrik oksida (iNO) membantu mengawal tona otot dalam arteri paru-paru dan mengurangkan hipertensi pulmonari; oleh itu, ia mungkin mengurangkan keperluan untuk bantuan ventilasi, yang membawa kepada kurang kecederaan paru-paru. Walau bagaimanapun, iNO mempunyai kesan pada fungsi platelet dan dipercayai berpotensi meningkatkan pendarahan, khususnya pendarahan ke dalam otak.

Ciri-ciri kajian: Pengarang ulasan menjumpai 17 kajian rawak terkawal iNO dalam bayi pramatang yang baru lahir melalui carian yang dikemas kini sehingga Januari 2016. Kajian-kajian tersebut mengkaji bayi pramatang dengan ciri asas yang sangat berbeza; oleh itu, kami memutuskan untuk membahagikan mereka kepada tiga kumpulan: (1) kajian bayi yang dirawat dalam beberapa hari pertama kehidupan dengan penyakit paru-paru yang teruk, (2) kajian yang menyediakan rawatan selepas beberapa hari pertama kehidupan kepada bayi yang berisiko tinggi menghidap penyakit paru-paru kronik dan (3) kajian yang menyediakan rawatan awal rutin untuk bayi yang mengalami masalah pernafasan.

Keputusan utama: Tiada satu pun daripada tiga kumpulan kajian yang menunjukkan bahawa iNO meningkatkan kelangsungan hidup, dan tiada bukti yang konsisten menunjukkan bahawa iNO mengurangkan kecederaan paru-paru. Kajian dalam kumpulan 1 (rawatan menyelamat awal) melaporkan peningkatan 20% dalam pendarahan teruk ke dalam otak. Penemuan ini adalah hampir signifikan secara statistik. Kualiti bukti adalah sederhana hingga tinggi.

Ulasan kajian-kajian tersebut mendapati bahawa terapi sedutan nitrik oksida nampaknya tidak meningkatkan peluang hasil yang lebih baik untuk bayi pramatang dengan penyakit paru-paru. Apabila diberikan kepada bayi yang sangat sakit, iNO kelihatan tidak membantu dan mungkin menyumbang kepada peningkatan risiko pendarahan intrakranial (dalam otak).

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information