Asid 5-aminosalisilik oral untuk rawatan kolitis ulseratif aktif

Apakah kolitis ulseratif?

Kolitis ulseratif (UC) adalah keadaan yang menyebabkan keradangan usus besar anda. Beberapa gejala yang berkaitan dengan UC termasuk cirit-birit, sakit perut, sakit rektum, pendarahan rektum, penurunan berat badan, keletihan dan demam.

Apakah itu asid 5-aminosalisilik (5-ASA)?

Sulfasalazine (SASP) telah digunakan untuk merawat UC selama beberapa dekad. SASP terdiri daripada asid 5-aminosalisilik (5-ASA) yang dihubungkan dengan molekul sulfur. Hampir satu pertiga orang yang dirawat dengan SASP melaporkan kesan sampingan, yang dianggap berkaitan dengan bahagian sulfur molekul tersebut. Kesan sampingan yang biasa dikaitkan dengan SASP termasuk loya, gangguan pencernaan, sakit kepala, muntah dan sakit perut. Ubat 5-ASA dicipta untuk mengelakkan kesan sampingan berkaitan dengan SASP. 5-ASA biasanya diambil melalui mulut.

Apakah yang dikaji oleh penyelidik?

Para penyelidik meneliti sama ada 5-ASA oral membantu remisi pada pesakit dengan UC. Para penyelidik menyiasat sama ada 5-ASA oral lebih baik daripada plasebo (ubat palsu) atau formulasi 5-ASA yang berbeza.

Keputusan utama

Ulasan ini merangkumi 54 kajian rawak dengan seramai 9612 orang mengambil bahagian. Ulasan ini merangkumi kajian-kajian yang diterbitkan sehingga Jun 2019. Oral 5-ASA didapati lebih berkesan daripada plasebo (ubat palsu). Walaupun ubat oral 5-ASA berkesan untuk merawat UC aktif, ubat ini tidak lebih berkesan daripada terapi SASP. Orang yang mengambil 5-ASA cenderung tidak mengalami kesan sampingan daripada mereka yang mengambil SASP. Kesan sampingan yang berkaitan dengan 5-ASA secara umumnya ringan, dan kesan sampingan yang biasa termasuk gejala saluran pencernaan (seperti perut kembung, sakit perut, loya, dan cirit-birit), sakit kepala dan UC yang semakin teruk. Kompaun 5-ASA lebih mahal daripada SASP, jadi SASP mungkin menjadi pilihan utama di mana kos adalah faktor penting. 5-ASA yang diberikan sekali sehari nampaknya sama berkesan dengan 5-ASA yang diberikan dengan cara biasa (dua atau tiga kali sehari). Nampaknya tidak ada perbezaan keberkesanan atau keselamatan antara pelbagai formula 5-ASA.

Kesimpulan

Bukti kepastian tinggi menunjukkan bahawa 5-ASA lebih unggul daripada plasebo dan bahawa dos 5-ASA sekali sehari mempunyai keberkesanan dan keselamatan yang sama dengan dos 5-ASA konvensional. Bukti kepastian sederhana juga menunjukkan bahawa 5-ASA tidak lebih unggul daripada SASP. Mematuhi pengambilan ubat dengan dos sekali sehari nampaknya tidak bertambah baik berbanding dos konvensional. Akhir sekali, terdapat sedikit atau tiada perbezaan pada keberkesanan atau keselamatan di antara pelbagai formula 5-ASA.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information