Asid 5-aminosalicylic untuk mengekalkan remisi kolitis ulseratif

Apakah tujuan ulasan ini?

Tujuan Kajian Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada asid 5-aminosalicylic oral (juga dikenali sebagai mesalazine atau mesalamine) membantu mengekalkan remisi dan mencegah kambuh pada orang yang mengalami kolitis ulseratif. Kolitis ulseratif adalah penyakit radang usus yang mengakibatkan keradangan usus besar yang berpanjangan. Beberapa gejala biasa termasuk cirit-birit berdarah, sakit perut dan rektum, penurunan berat badan, keletihan dan demam. Penulis ulasan Cochrane telah mengumpul dan menganalisa semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan mendapati terdapat 44 kajian.

Adakah tinjauan semula ini mutakhir?

Pengarang ulasan mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga Jun 2019.

Apakah yang dikaji dalam tinjauan semula ini?

Para penyelidik mengkaji sama ada asid 5-aminosalicylic oral lebih baik daripada plasebo (ubat palsu), pembanding lain formulasi asid 5-aminosalicylic, sulfasalazine, tahap dos berbeza asid 5-aminosalicylic oral, dan dos sekali sehari berbanding dengan dos konvensional bagi mereka yang menghidap kolitis ulseratif. Hasilnya termasuk klinikal atau endoskopi (di mana tiub nipis yang panjang terus masuk ke usus) remisi, kepatuhan terhadap rejimen ubat-ubatan, dan kesan sampingan dari ubat.

Apakah keputusan-keputusan utama ulasan ini?

Penulis kajian mendapati 44 kajian yang relevan (9967 peserta). Kajian ini membandingkan ubat 5-aminosalicylic oral dengan plasebo (ubat palsu), pembanding formulasi asid 5-aminosalicylic, sulfasalazine, dos asid 5-aminosalicylic oral yang berbeza, dan dos sekali sehari berbanding dengan dos konvensional.

Lapan kajian (1555 peserta) menilai keberkesanan asid 5-aminosalicylic oral berbanding plasebo. Kajian mendapati asid 5-aminosalicylic oral lebih berkesan daripada plasebo untuk mengekalkan remisi klinikal atau endoskopi (bukti kepastian tinggi). Dua belas kajian (1655 peserta) menilai keberkesanan sulfasalazine berbanding asid 5-aminosalicylic. Kajian mendapati sulfasalazine sedikit lebih berkesan berbanding asid 5-aminosalicylic (bukti kepastian tinggi). Sepuluh kajian (3910 peserta) menilai keberkesanan sekali sehari berbanding dos konvensional (dua kali sehari). Kajian mendapati mungkin tidak ada perbezaan antara kumpulan untuk mengekalkan remisi klinikal atau endoskopi (bukti kepastian sederhana). Analisa tambahan kepatuhan untuk mengkaji ubat juga dilakukan sekali sehari berbanding dos konvensional. Hasil kajian menunjukkan kemungkinan tidak ada perbezaan dalam kepatuhan minum ubat antara dua kumpulan dos (bukti kepastian sederhana). Enam kajian (1781 peserta) menilai asid 5-aminosalicylic oral (contohnya balsalazide, Pentasa, dan olsalazine) berbanding dengan formulasi asid 5-aminosalicylic lain (contohnya Asacol dan Salofalk). Kajian mendapati mungkin tidak ada perbezaan remisi klinikal atau endoskopi antara kumpulan asid 5-aminosalicylic dan asid 5-aminosalicylic kumpulan pembandingan (bukti kepastian rendah).

Mungkin ada sedikit atau tidak ada bukti perbezaan kesan sampingan yang biasa dilaporkan antara asid 5-aminosalicylic dan mana-mana pembanding. Kesan sampingan yang biasa dilaporkan termasuk kembung perut, sakit perut, mual, cirit-birit, sakit kepala, dispepsia (gangguan pencernaan), dan nasofaringitis (keradangan saluran hidung).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information