Latar belakang
Orang dengan parut hati (sirosis) boleh mengalami tekanan tinggi di dalam vena portal (vena yang membawa darah dari usus ke hati). Tekanan tinggi ini menyebabkan vena mengembang secara tidak normal (varises) di dalam kerongkong (esofagus), di dalam perut, atau di dalam usus, yang mungkin menyebabkan pendarahan yang mengancam nyawa. Orang yang pernah berdarah berisiko tinggi mengalami pendarahan pada masa depan, maka adalah penting untuk mencegah episod pendarahan lebih lanjut dalam orang-orang ini. Pilihan rawatan yang berbeza adalah tersedia untuk mencegah pendarahan lebih lanjut. Salah satu pilihan adalah rawatan endoskopi, yang menggunakan kamera fleksibel untuk memeriksa bahagian yang terjejas dan menutup varises dengan pita elastik, atau menyuntik varises dengan bahan untuk menutup vena tersebut. Pilihan kedua adalah ‘pintasan’, yang mengalihkan aliran darah dari vena yang bermasalah, mengurangkan tekanan dan dengan itu mengurangkan kemungkinan pendarahan. Terdapat tiga jenis pintasan utama: pintasan menyeluruh, pintasan splenorenal distal, dan pintasan portosistemik transjugular intrahepatik. Pintasan menyeluruh dan pintasan splenorenal distal sering digunakan pada masa lalu dan memerlukan prosedur pembedahan yang invasif. TIPS kini lebih sering digunakan, kerana ia tidak memerlukan pembedahan invasif.
Soalan ulasan
Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk membandingkan pintasan berbanding rawatan endoskopi dengan atau tanpa ubat lebih lanjut dalam orang dengan sirosis hati yang sebelumnya mengalami pendarahan dari varises, dengan mengumpulkan dan menganalisis semua kajian yang relevan dalam bidang topik ini dan dengan mengulas bukti tersebut.
Ciri-ciri kajian
Pada bulan Jun 2020, kami mengulas bukti tersebut. Kami menemui 27 kajian klinikal rawak (kajian yang mana peserta diagihkan kepada kumpulan secara rawak) melibatkan 1828 peserta. Tiga kajian menyiasat pintasan menyeluruh (164 peserta); lima kajian menyiasat pintasan splenorenal distal (352 peserta); dan 19 kajian menyiasat pintasan portosistemik transjugular intrahepatik (1312 peserta). Sumber pembiayaan adalah tidak jelas dalam 16 kajian. Sebelas kajian dibiayai oleh kerajaan atau menerima geran dari hospital atau universiti tempatan.
Keputusan
Bukti yang menunjukkan sama ada rawatan pintasan berbanding dengan rawatan endoskopi dengan atau tanpa ubat lebih lanjut mengubah risiko kematian keseluruhan dari sebarang sebab (semua sebab kematian), mengurangkan risiko pendarahan dari varises, atau mengurangkan risiko kematian daripada pendarahan varises (kematian disebabkan pendarahan variseal) adalah sangat tidak jelas.
Bukti bahawa orang yang dirawat dengan pintasan berbanding dengan rawatan endoskopi dengan atau tanpa ubat lebih lanjut mengalami peningkatan risiko ensefalopati hepatik akut (kegagalan otak berkaitan dengan penyakit hati) atau ensefalopati hepatik kronik (kegagalan otak yang berulang atau tidak bertambah baik sepenuhnya) adalah juga sangat tidak pasti.
Kami tidak dapat menyimpulkan dengan pasti sama ada orang yang dirawat dengan pintasan tinggal di hospital lebih lama daripada orang yang dirawat dengan endoskopi dengan atau tanpa ubat lebih lanjut, atau rawatan mana yang lebih mahal, kerana kami tidak yakin yang menggabungkan keputusan dari kajian yang berbeza akan menghasilkan keputusan yang bermakna. Tiada kajian yang melaporkan kesan rawatan terhadap kualiti hidup pesakit.
Risiko bias
Keputusan analisis kami mesti ditafsirkan dengan berhati-hati kerana kebimbangan terhadap kualiti kajian yang disertakan. Kelemahan dalam reka bentuk kajian-kajian ini boleh mempengaruhi keputusan, menjadikannya berpotensi untuk mengelirukan.
Kesimpulan
Kami tidak dapat mengatakan dengan pasti bahawa pintasan portosistemik apabila dibandingkan dengan rawatan endoskopi kadang-kala dikaitkan dengan rawatan perubatan mengubah risiko keseluruhan kematian (semua sebab kematian), mengurangkan risiko episod pendarahan berulang, atau meningkatkan risiko mengalami ensefalopati hepatik. Kami memerlukan kajian yang dijalankan dengan betul yang menilai hasil yang penting untuk orang dengan sirosis dan penyedia penjagaan kesihatan.
Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my