Vaksin sel seluruh mati atau subunit tidak aktif (suntikan) untuk mencegah kolera

Kolera merupakan gastroenteritis akut yang disebabkan oleh Vibrio cholerae. Jangkitan menyebabkan cirit-birit berair yang banyak, dan sehingga 40% pesakit mati sekiranya tidak dirawat. Kolera merupakan penyebab utama kematian di banyak negara pada masa lalu; wabak ini kurang biasa dijumpai sekarang, tetapi kolera tetap menjadi penyebab kematian yang penting di negara-negara membangun, terutama di Afrika.

Vaksinasi terhadap kolera pertama kali diuji pada abad kesembilan belas dan mungkin berperanan dalam mengawal wabak ini. Vaksin suntikan (parenteral) sel seluruh telah digunakan pada tahun 1960-an dan 1970-an, tetapi ia tidak disukai kerana keberkesanannya dianggap rendah dan berjangka pendek, dan dikaitkan dengan kadar kesan buruk yang tinggi. Ulasan ini merumuskan bukti keberkesanan vaksin kolera yang disuntik. Satu ulasan Cochrane yang berasingan menerangkan kajian dengan vaksin kolera oral, yang baharu diperkenalkan dan digunakan pada masa kini.

Enam belas kajian, yang melibatkan lebih dari satu juta orang dewasa, kanak-kanak, dan bayi, disertakan. Vaksin kolera suntikan telah mengurangkan risiko kematian akibat kolera dan risiko dijangkiti kolera pada 12 bulan. Perlindungan yang ketara kekal selama dua tahun. Vaksin kolera suntikan mempunyai kesan sampingan sistemik dan setempat yang lebih banyak daripada plasebo, tetapi kesan-kesan sampingan tersebut dapat diterima dengan baik dan tidak teruk ataupun mengancam nyawa.

Para pengarang menyimpulkan bahawa vaksin kolera suntikan kelihatan lebih selamat dan lebih berkesan daripada yang biasanya disedari. Namun, ia tidak tersedia pada waktu kini, oleh itu tidak dapat disarankan untuk penggunaan. Ulasan ini memberikan latar belakang bukti yang kukuh atas kesan vaksin kolera suntikan, berbanding dengan kesan vaksin oral.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar). Disunting oleh Ahmad Filza Isail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com

Tools
Information