Teknik infusi untuk trombolisis arteri periferal

Latar belakang

Pengurangan mendadak dalam aliran darah ke anggota badan (iskemia anggota badan akut) biasanya disebabkan oleh bekuan darah (trombus) yang menghalang arteri atau cantuman pintasan. Iskemia akut yang teruk akan menyebabkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan pada otot dan saraf jika aliran darah tidak dipulihkan dalam beberapa jam. Sebaik sahaja kerosakan tidak dapat dipulihkan berlaku, amputasi akan diperlukan dan keadaan itu boleh mengancam nyawa. Infusi ubat penghapus bekuan (trombolisis) boleh memulihkan aliran darah dengan menyeraikan bekuan; pendekatan ini kurang invasif daripada pembedahan terbuka.

Adakah sebarang teknik infusi untuk menyampaikan trombolisis lebih baik daripada yang lain?

Kami ingin mengetahui sama ada terdapat kaedah penghantaran ubat penghapusan bekuan menawarkan manfaat yang lebih besar berbanding yang lain untuk hasil penting seperti mencegah amputasi dan kematian, memulihkan aliran darah, dan mengurangkan tempoh masa yang diperlukan untuk menghantar ubat; serta mana-mana teknik menyebabkan kemudaratan yang lebih bahaya daripada yang lain (seperti strok atau pendarahan)?

Bagaimana kami mengenalpasti dan menilai bukti?

Pertama, kami mencari penulisan perubatan untuk kajian rawak terkawal (RCT) - kajian klinikal di mana individu dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan. Kajian jenis ini memberikan bukti yang paling kuat mengenai kesan rawatan. Kami kemudiannya membandingkan keputusan kajian dan meringkaskan bukti dari semua kajian. Akhirnya, kami menilai kepastian bukti. Untuk melakukannya, kami mempertimbangkan faktor-faktor seperti cara kajian dijalankan, saiz kajian, dan konsistensi penemuan merentasi kajian-kajian. Berdasarkan penilaian kami, kami mengelaskan bukti sebagai berkepastian sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi.

Apakah yang telah kami temui?

Kami menemui sembilan RCT dengan sejumlah 671 peserta dengan pelbagai keterukan iskemia yang dirawakkan untuk menerima trombolisis dengan teknik infusi yang berbeza. Kajian-kajian ini menggunakan reka bentuk kajian yang sangat berbeza, yang menghalang pengumpulan data. Dua kajian membandingkan penghantaran ubat intra-arteri dan intravena menggunakan agen trombolitik yang berbeza. Enam kajian membandingkan rejimen dos tinggi dan rendah, atau rejimen infusi berterusan dan infusi paksa (semburan nadi). Kajian tidak memberikan definisi tentang dos tinggi atau rendah, menggunakan agen berbeza dengan atau tanpa pengikat awal bekuan dengan dos tinggi agen (bolus), dan menghantar agen ke dalam arteri atau trombus. Satu kajian membandingkan penggunaan agen antiplatelet tambahan dengan trombolisis.

Bukti terhad yang berkepastian sangat rendah dan rendah daripada kajian individu mungkin menunjukkan bahawa manfaat yang lebih besar dilihat apabila agen trombolitik dihantar ke dalam trombus: trombolisis intravena sistemik adalah kurang berkesan daripada trombolisis intra-arteri. Teknik ‘dos tinggi’ dan ‘infusi paksa’, atau penggunaan agen tambahan seperti perencat glikoprotein platelet IIb/IIIa, mungkin mempercepatkan trombolisis, tetapi teknik ini secara amnya lebih memerlukan tenaga kerja intensif dan nampaknya berkaitan dengan peningkatan komplikasi pendarahan berbanding dengan rejimen dos rendah, serta tiada bukti bahawa ia membawa kepada hasil yang lebih baik (contohnya kadar amputasi yang lebih rendah). ‘Infusi berterusan dos rendah’, berikutan pengikatan awal trombus dengan dos tinggi agen trombolitik, adalah teknik yang paling tidak memerlukan kerja intensif. Trombolisis nampaknya merupakan terapi yang boleh diterima untuk pesakit yang mempunyai anggota badan yang sedikit terancam (Rutherford gred IIa), tetapi, kerana risiko pendarahan, strok, dan kematian, trombolisis perlu digunakan dengan berhati-hati pada pesakit yang tidak mempunyai iskemia yang mengancam anggota badan (Rutherford gred I). Rejimen yang mengurangkan masa yang diperlukan untuk memulihkan aliran darah mungkin membenarkan rawatan pesakit dengan anggota badan yang terancam serta-merta (Rutherford gred IIb).

Lebih banyak kajian diperlukan untuk mengesahkan penemuan ini.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Bukti dalam ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga 20 Oktober 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information