Senaman untuk mengurangkan gejala klaudikasi berjeda

Latar belakang

Klaudikasi berjeda adalah sakit kaki kejang yang berlaku semasa berjalan dan dapat reda dengan berehat. Ia disebabkan oleh aliran darah yang tidak mencukupi ke otot-otot kaki disebabkan oleh aterosklerosis (pengumpulan lemak yang menyekat aliran darah melalui arteri). Orang yang mengalami klaudikasi ringan hingga sederhana dinasihatkan untuk terus berjalan, berhenti merokok, dan mengurangkan faktor risiko kardiovaskular. Rawatan lain termasuk terapi antiplatelet, pentoksifilin atau cilostazol, angioplasti (memasukkan belon ke dalam arteri untuk membukanya), dan pembedahan bypass.

Kajian dan keputusan utama

Penulis kajian mengenal pasti 32 kajian rawak terkawal melibatkan 1835 dewasa dengan sakit kaki stabil yang diberikan rawatan senaman, penjagaan biasa atau plasebo, atau rawatan lain (sehingga November 2016). Penyelidik mengukur hasil pada masa antara dua minggu hingga dua tahun. Jenis senaman yang dilakukan adalah berbeza-beza daripada latihan kekuatan hingga polestriding dan latihan anggota badan atas atau bawah; secara amnya, sesi penyeliaan diadakan sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Kualiti kajian yang disertakan adalah sederhana, terutamanya disebabkan oleh ketiadaan maklumat yang berkaitan. Sepuluh kajian melaporkan bahawa dalam kumpulan senaman, jarak berjalan tanpa sakit dan jarak maksimum yang peserta boleh berjalan telah meningkat. Penambahbaikan dapat dilihat sehingga selama dua tahun. Senaman tidak menambahbaik indeks tekanan darah buku lali ke brachial. Tiada bukti kesan senaman dilihat pada kematian atau keperluan untuk amputasi kerana data adalah terhad. Penyelidik menilai kualiti hidup dengan menggunakan Soal Selidik SF-36 pada tiga dan enam bulan. Pada tiga bulan pertama, petunjuk kualiti hidup - 'fungsi fizikal', 'daya hidup', dan 'peranan fizikal' - semuanya telah bertambah baik dengan senaman, tetapi data ini terhad, kerana hanya dua kajian yang melaporkan perkara ini. Lima kajian melaporkan penambahbaikkan 'skor ringkasan fizikal' dan empat kajian melaporkan penambahbaik 'skor kesihatan mental' selepas senaman pada enam bulan, dengan dua kajian juga melaporkan peningkatan dalam 'fungsi fizikal' dan 'kesihatan am'. Semua domain lain tidak menunjukkan penambahbaikan pada enam bulan dengan senaman.

Perbandingan antara senaman dengan terapi antiplatelet, pentoxifylline, iloprost, vitamin E, dan kaki pneumatik dan betis pneumatik adalah terhad kerana bilangan kajian dan peserta yang dikenal pasti adalah kecil.

Kualiti bukti

Ulasan sekarang menunjukkan bahawa program senaman nampaknya menambah baik jarak berjalan bagi orang yang dianggap sesuai untuk regimen senaman. Manfaat ini nampaknya dapat dikekalkan selama dua tahun. Bukti yang dikemukakan dalam ulasan ini adalah kualiti sederhana hingga tinggi. Walaupun terdapat perbezaan antara kajian yang dilakukan, populasi dan hasil adalah setanding secara keseluruhannya, dan penemuan adalah relevan kepada orang yang mengalami klaudikasi berjeda. Keputusan gabungan diperoleh daripada saiz sampel yang besar - lebih 300 peserta untuk kebanyakan hasil - dengan menggunakan kaedah yang boleh dihasilkan semula.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Kien How (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information