Soalan ulasan
Adakah antibiotik yang disedut membantu melawan jangkitan berterusan dengan Pseudomonas aeruginosa pada penghidap cystic fibrosis (CF)?
Mesej utama
Ketika orang dengan CF semakin tua, mereka lebih cenderung untuk dijangkiti dengan Pseudomonas aeruginosa dalam jangka masa yang panjang. Ini adalah punca utama jangkitan paru-paru kronik pada orang dengan CF.
Kami ingin mengetahui sama ada antibiotik yang mensasarkan Pseudomonas aeruginosa akan mengurangkan kesan jangkitan apabila ia disedut ke dalam paru-paru. Kami ingin mengetahui sama ada rawatan ini akan menambahbaik fungsi paru-paru, kualiti hidup dan kelangsungan hidup. Kita juga melihat pada kesan berbahaya.
Apakah itu CF?
Fibrosis sistik adalah penyakit yang diwarisi yang mengakibatkan lendir yang tidak normal di beberapa bahagian badan dan terutamanya memberi kesan kepada paru-paru, yang terdedah kepada jangkitan oleh bakteria tertentu. Jangkitan menyebabkan keradangan yang mengakibatkan kerosakan progresif kepada paru-paru.
Apa yang kami dapati?
Ulasan itu melibatkan 18 kajian dengan 3042 orang dengan CF yang berusia antara lima dan 45 tahun. Kajian mengambil masa antara tiga hingga 33 bulan. Dalam 11 kajian penyiasat membandingkan antibiotik disedut dengan plasebo (bahan yang disedut tanpa ubat di dalamnya) dan orang dipilih untuk satu rawatan atau yang lain secara rawak. Lapan kajian tersebut membandingkan satu antibiotik yang disedut dengan antibiotik disedut yang berbeza atau jadual yang berlainan untuk antibiotik yang sama. Salah satu kajian yang membandingkan antibiotik dengan plasebo dengan antibiotik yang berbeza dan jatuh ke dalam kedua-dua kumpulan.
Keputusan utama
Keputusan-keputusan daripada empat kajian menunjukkan bahawa apabila dibandingkan dengan plasebo, antibiotik yang disedut mungkin meningkatkan fungsi paru-paru dan mengurangkan bilangan orang dengan CF yang mempunyai gejala yang semaking teruk (eksaserbasi). Antibiotik yang disedut juga mungkin bermakna kurang hari cuti sekolah atau bekerja (ukuran kualiti hidup). Mereka nampaknya tidak memberi kesan kepada kelangsungan hidup. Kami tidak pasti tentang kesan sampingan antibiotik yang disedut, tetapi tinnitus dan perubahan dalam suara dilaporkan lebih kerap pada orang yang menyedut antibiotik berbanding plasebo. Kami tidak menemui bukti yang mencukupi untuk dapat mengulas tentang cara antibiotik yang disedut mempengaruhi ketinggian dan berat badan.
Di mana kajian membandingkan antibiotik atau jadual penyedutan yang berbeza, terdapat hanya satu kajian dalam setiap lapan perbandingan berbeza. Satu-satunya perbezaan yang kami temui dalam semua perbandingan ini adalah untuk dua hasil. Dalam satu kajian, kita mendapati bahawa aztreonam lysine mungkin menambahbaik fungsi paru-paru lebih daripada tobramycin, tetapi tiada perbezaan penting dalam kajian-kajian lain yang berkaitan dengan fungsi paru-paru. Aztreonam lysine juga mungkin menyebabkan lebih sedikit orang yang memerlukan antibiotik tambahan daripada tobramycin dan terdapat lebih sedikit kemasukan ke hospital selepas levofloxacin berbanding plasebo. Kami mendapati kesan sampingan penting yang berkaitan dengan rawatan tidak begitu biasa dalam kajian, tetapi mereka kurang biasa dengan tobramycin berbanding dengan antibiotik lain.
Apakah batasan bukti tersebut?
Kajian yang kami masukkan dalam ulasan ini mengukur fungsi paru-paru dengan cara yang berbeza dan juga kekerapan orang mengalami gejala yang semakin teruk secara tiba-tiba. Itu menjadikan kami sukar untuk menggabungkan hasil kajian yang berbeza untuk memperkuatkan bukti kami. Kami berpendapat bahawa kepastian keseluruhan bukti adalah rendah untuk kebanyakan hasil, terutamanya disebabkan oleh risiko berat sebelah dalam kajian dan kadar peristiwa yang rendah bermakna hasilnya tidak tepat.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga: 28 Jun 2022.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my