Antidepresan dan benzodiazepin untuk kemurungan major

Mengapakah ulasan ini penting?

Ciri- ciri kemurungan major ialah mood yang menurun, hilang minat atau keseronokan, tiada tenaga, keletihan, sukar untuk menumpukan perhatian, perubahan selera makan, gangguan tidur dan pemikiran menakutkan tentang kematian. Kemurungan seringkali berangkai dengan kebimbangan. Kemurungan dan kebimbangan memberikan impak negatif ke atas seseorang dan masyarakat, seringkali dalam jangka masa panjang.

Siapakah yang akan berminat dengan ulasan ini?

Profesional kesihatan, termasuk doktor perawatan am dan pakar psikiatri; penghidap kemurungan major dan orang di sekeliling mereka.

Apakah soalan yang cuba dijawab oleh ulasan ini?

Kemurungan major sering dirawat dengan gabungan ubat-ubatan antidepresan dan benzodiazepin. Benzodiazepin adalah satu kumpulan ubat-ubatan pengurang kebimbangan dan hipnotik. Ulasan ini ingin mengetahui adakah rawatan gabungan antidepresan dengan benzodiazepine, berbanding dengan rawatan antidepresan sahaja, mempunyai kesan ke atas simptom kemurungan, kadar pemulihan dan penerimaan rawatan ini berdasarkan bilangan orang yang meninggalkan kajian awal (dipanggil kadar keciciran), dalam kalangan orang dewasa yang menghidapi kemurungan major.

Kajian mana yang telah dimasukkan ke dalam ulasan ini?

Kami melakukan pencarian dalam pangkalan data elektronik untuk mencari semua kajian yang relevan pada orang dewasa yang menghidapi kemurungan major. Untuk dimasukkan, kajian perlu berbentuk kajian rawak yang terkawal (RCTs), yang bermaksud orang dewasa ditempatkan secara rawak (secara kesempatan sahaja) bagi menerima sama ada antidepresan bersama benzodiazepin atau antidepresan sahaja (tarikh carian terakhir 23 Mei 2019).

Kami menemui 10 kajian relevan yang melibatkan 731 peserta yang membandingkan antara terapi gabungan antidepresan bersama benzodiazepine atau antidepresan sahaja. Kualiti bukti adalah antara sangat rendah hingga sederhana.

Apakah maklumat yang diperolehi daripada bukti ulasan ini?

Gabungan antidepresan dan benzodiazepin adalah lebih berkesan daripada antidepresan sahaja dalam menambahbaik kemurungan dan mengurangkan simptom di fasa awal rawatan (satu hingga empat minggu), tetapi tidak ada bukti perbezaan selepas daripada tempoh tersebut. Tidak ada bukti perbezaan dalam penerimaan (berdasarkan keciciran) antara rawatan gabungan berbanding dengan antidepresan sahaja. Kadar keciciran disebabkan oleh kesan yang tidak diingini dan tak dijangka (kesan sampingan) adalah lebih rendah untuk antidepresan dan benzodiazepin berbanding dengan antidepresan sahaja, walaupun begitu sekurang-kurangnya satu kesan sampingan telah dilaporkan lebih kerap oleh mereka yang dirawat dengan gabungan antidepresan dan benzodiazepin.

Apa seharusnya berlaku selepas ini?

Oleh kerana terdapat potensi pergantungan kepada benzodiazepine oleh pengambil, kajian baru berjangka panjang perlu membandingkan apa yang akan berlaku apabila rawatan gabungan memberhentikan benzodiazepine selepas tempoh yang singkat (contohnya, satu bulan).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information