Ini adalah versi kemas kini ulasan Cochrane terbitan terdahulu dalam isu 11, 2016 Pangkalan Data Ulasan Sistematik Cochrane.
Latar belakang
Epilepsi ialah gangguan saraf yang lazim di mana discaj elektrik abnormal dari otak menyebabkan sawan berulang. Kami mengkaji dua jenis sawan epilepsi di dalam ulasan ini: sawan permulaan umum, di mana discaj elektrik bermula di satu bahagian otak dan bergerak ke seluruh otak; dan sawan permulaan fokal, di mana sawan dihasilkan dan mempengaruhi sebahagian otak (seluruh hemisfera otak atau sebahagian lobus otak). Sawan fokal mungkin menjadi umum (generalisasi sekunder) dan bergerak dari satu bahagian otak ke seluruh otak. Bagi kira-kira 70% orang dengan epilepsi, satu ubat antiepileptik boleh mengawal sawan permulaan umum atau sawan permulaan fokal.
Ulasan ini terpakai untuk orang dengan sawan fokal (dengan atau tanpa generalisasi sekunder) dan orang dengan sawan tonik-klonik, sejenis sawan generalisasi khusus. Ulasan ini tidak terpakai untuk orang dengan jenis sawan umum lain seperti sawan ‘absence’ atau sawan mioklonik, kerana rawatan yang disyorkan untuk jenis-jenis sawan tersebut adalah berbeza.
Objektif
Carbamazepine dan lamotrigine adalah rawatan utama untuk individu dengan diagnosis epilepsi terbaharu. Tujuan ulasan ini adalah untuk membandingkan keberkesanan ubat-ubatan ini mengawal sawan, untuk mengetahui jika ia dikaitkan dengan kesan sampingan yang boleh menyebabkan individu menghentikan ubat, dan memaklumkan pilihan di antara ubat-ubatan ini.
Kaedah
Carian terakhir untuk kajian adalah pada Februari 2018. Kami menilai bukti daripada 14 kajian rawak terkawal yang membandingkan lamotrigine dengan carbamazepine. Kami dapat menggabungkan data bagi 2572 orang untuk 9 daripada 14 kajian; untuk baki 1215 orang daripada 5 kajian, tiada maklumat yang boleh diguna untuk ulasan ini.
Keputusan
Keputusan ulasan ini mencadangkan orang lebih cenderung menarik diri lebih awal daripada rawatan carbamazepine berbanding lamotrigine. Sebab paling lazim untuk menarik diri adalah berkaitan kesan sampingan ubatan: 52% jumlah penarikan diri adalah dalam kalangan peserta yang mengambil carbamazepine dan 36% dalam kalangan peserta yang mengambil lamotrigine. Sebab kedua paling lazim untuk menarik diri berkaitan ubatan adalah perulangan sawan: 58 daripada 719 jumlah penarikan diri (8%) dengan carbamazepine dan 105 daripada 697 jumlah penarikan diri (15%) dengan lamotrigine.
Keputusan mencadangkan sawan berulang selepas memulakan rawatan dengan lamotrigine mungkin berlaku lebih awal daripada rawatan dengan carbamazepine. Ia juga mencadangkan bebas sawan untuk tempoh enam bulan mungkin berlaku lebih awal dengan carbamazepin berbanding lamotrigine. Majoriti orang yang terlibat di dalam 14 kajian tersebut (88%) mengalami sawan fokal, oleh itu keputusan ulasan terpakai terutamanya untuk orang dengan sawan jenis ini,
Kesan sampingan paling lazim dilapor oleh peserta sepanjang kajian adalah pening, letih, masalah gastrousus, sakit kepada dan masalah kulit. Kesan-kesan sampingan tersebut dilaporkan dalam bilangan yang sama oleh orang yang mengambil lamotrigine atau carbamazepine.
Kualiti bukti
Untuk orang dengan sawan permulaan fokal, kami menilai kualiti bukti sebagai tinggi untuk hasil perulangan sawan dan remisi sawan dan kami menilai kualiti bukti adalah sederhana untuk hasil kegagalan rawatan. Reka bentuk kajian ( khususnya, sama ada orang dan doktor yang merawat mengetahui ubat mana yang mereka ambil) mungkin telah mempengaruhi kadar penarikan diri daripada rawatan. Sehingga 50% orang dalam kajian-kajian yang digunakan dalam keputusan kami mungkin silap diklasifikasikan sebagai mempunyai sawan permulaan umum, kami menilai kualiti bukti adalah sederhana untuk hasil perulangan sawan dan remisi sawan dan berkualiti rendah untuk hasil kegagalan rawatan.
Kesimpulan
Untuk orang dengan sawan fokal, lamotrigine dan carbamazepine adalah rawatan berkesan dan pilihan di antara dua rawatan ini patut dibuat dengan teliti. Lebih maklumat diperlukan untuk orang dengan sawan permulaan umum. Kami syorkan semua kajian masa depan yang membandingkan ubat-ubatan ini, atau mana-mana ubat antiepileptik lain, harus direka bentuk menggunakan kaedah yang berkualiti tinggi. Jenis sawan orang yang dimasukkan dalam kajian juga harus diklasifikasikan dengan teliti untuk memastikan keputusan yang berkualiti tinggi.
Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com.