Soalan ulasan
Apakah kesan hipotermia (penyejukan suhu badan) berikutan kecederaan otak ke atas kemungkinan kematian, atau hasil buruk, atau mendapat sejenis jangkitan paru-paru yang serius (pneumonia)?
Latar belakang
Hipotermia telah digunakan bertahun-tahun untuk merawat pesakit dengan kecederaan otak yang teruk. Ini melibatkan penyejukkan kepala atau keseluruhan tubuh kepada suhu di bawah suhu normal badan. Kami berhasrat menilai sama ada orang yang dirawat dengan hipotermia selepas kecederaan otak kurang cenderung untuk mati atau mempunyai kesan buruk (yang kami takrif sebagai kematian, koma atau hilang upaya yang teruk) dan sama ada menggunakan hipotermia mungkin meningkatkan risiko jangkitan paru-paru teruk yang dipanggil pneumonia.
Tarikh carian
Bukti adalah terkini sehingga bulan Mac 2016.
Ciri-ciri kajian
Kami memasukkan 37 kajian dengan 3110 peserta. Bagi setiap kajian, pesakit dibahagikan secara rawak kepada dua kumpulan: satu kumpulan kekal pada suhu badan biasa 36.5 hingga 38 °C, dan satu kumpulan lagi disejukkan kepada suhu maksimum 35 °C untuk sekurang-kurangnya 12 jam.
Keputusan utama
Kami tidak menggabungkan hasil-hasil kajian ini untuk menilai sama ada hipotermia menambahbaik hasil pesakit. Ini kerana keputusan-keputusan kajian tersebut mempunyai perbezaan besar yang tidak dapat dijelaskan. Kami mengenal pasti beberapa perbezaan dalam kaedah kajian-kajian dijalankan dan peserta yang direkrut oleh penulis kajian, tetapi kami tidak menilai sama ada hal ini dapat menjelaskan perbezaan-perbezaan keputusan. Kami tidak ada cukup bukti berkualiti yang dapat meyakinkan bahawa merawat pesakit kecederaan otak yang teruk dengan hipothermia akan mengurangkan insidens kematian atau hilang upaya yang teruk, atau meningkatkan insidens pneumonia.
Kualiti bukti
Kebanyakan kajian tidak dilaporkan dengan baik dan kami tidak dapat menilai sama ada perbezaan kualiti kajian-kajian ini mungkin juga mempengaruhi keputusan kami. Kami mengguna pendekatan GRADE untuk menilai kualiti bukti. Kami menilai bukti untuk kematian atau hilang upaya serius adalah berkualiti sangat rendah, dan bukti bagi pneumonia adalah berkualiti rendah.
Diterjemahkan oleh Husyairi Harunarashid (Universiti Kebangsaan Malaysia ). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi husyairi@ppukm.ukm.edu.my