Soalan
Apakah manfaat pembedahan membuang mendapan lemak dan klot darah dari dalam dinding arteri karotid (endarterektomi karotid) untuk orang yang terbaru (dalam tempoh empat hingga enam bulan) menunjukkan simptom akibat stenosis karotid (penyempitan arteri yang membekal darah ke otak)?
Latar belakang
Strok menyebabkan kehilangan upaya jangka panjang dan kematian. Kemungkinan mati akibat strok pertama adalah 15% hingga 35%, dan meningkat ke 69% bagi strok seterusnya, yang sering berlaku dalam tempoh satu tahun dari serangan pertama. Endarterektomi karotid mungkin mengurangkan risiko strok seterusnya atau berulang, tetapi berisiko komplikasi sejurus sebelum, selepas, dan semasa operasi, termasuk strok yang melumpuhkan dan kematian. Terdapat 7% risiko strok dan kematian dalam tempoh 30 hari dari endarterektomi.
Tarikh carian
Kami mencari kajian sehingga 23 Oktober 2019.
Ciri-ciri kajian
Ulasan ini mengenal pasti tiga kajian rawak terkawal (6343 peserta dirawakkan), yang membandingkan pembedahan karotid dengan tanpa pembedahan karotid (iaitu terapi perubatan terbaik ditambah pembedahan berbanding terapi perubatan terbaik sahaja) bagi peserta dengan stenosis karotid dan serangan iskemia transien (TIA) terbaru, atau strok iskemia minor di bahagian arteri itu. Kajian-kajian itu dijalankan di pusat-pusat di Eropah, USA, Kanada, Israel, Afrika Selatan, dan Australia. Nisbah jantina peserta adalah 2.6:1 (72% lelaki dan 28% wanita); 90% peserta adalah di bawah 75 tahun.
Keputusan tiga kajian tersebut awalnya bercanggah, kerana ia berbeza dalam cara mengukur stenosis karotid dan bagaimana mendefinisi hasil. Bagi menangani kepincangan ini, kami menilai semula data asal pesakit menggunakan kaedah dan definisi yang sama, agar keputusan boleh dibandingkan.
Keputusan utama
Endarterektomi karotid mengurangkan risiko strok lanjutan untuk orang dengan stenosis yang signifikan. Keputusan adalah ketara untuk orang tua, peserta lelaki, mereka dengan stenosis yang signifikan (70% hingga 99%), dan mereka yang dibedah dalam tempoh dua minggu dari TIA atau strok mereka. Endarterektomi mungkin bermanfaat untuk peserta dengan stenosis 50% hingga 69%. Kami tidak menemui sebarang manfaat pembedahan karotid untuk mereka dengan stenosis minor (kurang daripada 50%) atau di mana arteri karotid hampir tersumbat (hampir tersekat).
Kualiti bukti
Bukti adalah berkualiti sederhana atau tinggi untuk semua keputusan. Oleh itu, kami sederhana yakin atau sangat yakin dengan keputusan tersebut.
Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my