Heparin berat molekul rendah subkutan berdos tetap harian dengan heparin tanpa pecahan berdos terlaras untuk rawatan bekuan darah dalam urat-urat dalam

Latar belakang

Tromboembolism vena (VTE) adalah keadaan di mana darah beku terbentuk dalam vena kaki atau pelvis (trombosis vena dalam (DVT)), atau klot yang bergerak dalam darah dan menghalang saluran darah di paru-paru (embolisme paru-paru (PE)). Peluang untuk mendapat VTE boleh ditingkatkan sekiranya orang ramai mempunyai faktor risiko seperti bekuan darah sebelumnya, tempoh imobilisasi yang berpanjangan (seperti menaiki kapal terbang atau rehat katil), kanser, pendedahan kepada estrogen (kehamilan, pil perancang atau terapi penggantian hormon), trauma dan penyakit darah seperti thrombophilia (pembekuan darah yang tidak normal). Orang dengan VTE dirawat dengan antikoagulan, yang mencegah pembentukan klot lanjutan. Heparin merupakan antikoagulan, dan ia datang dalam dua bentuk: heparin berat molekul rendah (LMWH) dan heparin tanpa pecahan (UFH). UFH adalah ubat yang sudah digunakan lebih lama dan ia diberikan secara intravena atau melalui suntikan. Apabila memberikan UFH, doktor perlu memantau faktor pembekuan darah dengan berhati-hati dan melaraskan dos, kerana kebolehubahan kesannya. LMWH diberikan melalui suntikan subkutan sekali atau dua kali sehari dan tidak perlu dipantau sekerap UFH.

Ciri-ciri kajian dan keputusan utama

Ulasan ini menyertakan 29 ujian terkawal rawak yang melibatkan 10,390 peserta (semasa hingga September 2016), yang membandingkan LMWH atau UFH untuk merawat orang yang mengalami pembekuan darah. Menggabungkan keputusan ujian-ujian ini menunjukkan bahawa lebih sedikit peserta yang dirawat dengan LMWH membentuk bekuan darah selanjutnya dan lebih sedikit kes pendarahan berlaku. Penggunaan LMWH juga mengurangkan saiz bekuan darah asal jika dibandingkan dengan kumpulan UFH. Tiada perbezaan dalam bilangan kematian antara peserta yang dirawat dengan LMWH dan mereka yang dirawat dengan UFH.

Kualiti bukti

Keputusan semakan ini menunjukkan bahawa LMWH boleh menghalang pembekuan darah dan pendarahan selanjutnya dalam orang dengan VTE. Walau bagaimanapun, penemuan ini mesti ditafsirkan dengan berhati-hati kerana kualiti bukti yang sederhana akibat kekurangan pelaporan kaedah kajian dan masalah dengan reka bentuk kajian. Keputusan yang menunjukkan pengurangan saiz bekuan darah apabila mengambil LMWH juga mesti ditafsirkan dengan berhati-hati kerana kualiti bukti yang rendah kerana keputusan adalah tidak serupa antara kajian-kajian yang disertakan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information