Aplikasi haba atau laser secara laparoskopi kepada ovari untuk membolehkan ovulasi bagi wanita yang mengalami sindrom ovari polisistik dan tidak boleh berovulasi

Soalan ulasan

Penulis Cochrane telah mengulas bukti mengenai kesan prosedur pembedahan penebukan ovari secara laparoskopi (LOD) berbanding dengan rawatan perubatan untuk membolehkan ovulasi bagi wanita-wanita yang mengalami sindrom ovari polisistik (PCOS) yang tidak boleh berovulasi. Kami juga telah mengulas kesan pelbagai teknik LOD.

Latar belakang

Wanita dengan PCOS mempunyai masalah ovulasi dan mungkin mengalami kesukaran untuk mengandung. Clomiphene citrate (CC) pernah digunakan pada masa lalu sebagai rawatan pertama untuk wanita yang mengalami PCOS. Menurut garis panduan baru, rawatan pertama untuk induksi ovulasi adalah dengan letrozole, tetapi, penggunaan letrozole belum diluluskan secara rasmi. Kesannya, clomiphene citrate masih digunakan seperti biasa. Kira-kira 20% wanita yang dirawat dengan CC tidak mengalami ovulasi. Apabila ini berlaku, kami memanggilnya PCOS tahan CC. Bagi wanita dengan PCOS tahan CC terdapat pelbagai ubat-ubatan yang tersedia untuk mendorong ovulasi, seperti gonadotrophins, metformin atau aromatase inhibitor, tetapi, ubat-ubatan ini tidak selalunya berjaya dan boleh menyebabkan kesan buruk seperti kehamilan berganda dan kitaran pembatalan disebabkan oleh tindak balas yang berlebihan. Pilihan lain untuk rawatan adalah prosedur pembedahan dipanggil penebukan ovari secara laparoskopi (LOD). Ini melibatkan aplikasi haba atau laser kepada ovari melalui penggunaan laparoskop (kamera) melalui insisi kecil yang biasanya dilakukan di bawah pusat. Prosedur ini dijangka boleh memperbaiki fungsi ovari untuk menghasilkan dan bertindak balas terhadap hormon, lalu meningkatkan peluang berovulasi. Walau bagaimanapun, terdapat risiko yang berkaitan dengan pembedahan, seperti komplikasi dari bius, jangkitan dan perlekatan. LOD adalah pembedahan alternatif untuk rawatan perubatan, dan ulasan ini bertujuan untuk menentukan faedah dan risikonya.

Ciri-ciri kajian

Dalam ulasan terkini ini kami memasukkan 38 kajian terkawal yang membandingkan LOD dengan induksi ovulasi perubatan atau membandingkan pelbagai teknik LOD. Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2019

Keputusan utama

Analisis utama kami dengan bukti berkualiti rendah menunjukkan bahawa LOD dengan dan tanpa induksi ovulasi perubatan mungkin mengurangkan kadar kelahiran hidup bagi wanita yang mengalami PCOS tanpa ovulasi dan tahan CC berbanding dengan induksi ovulasi perubatan sahaja. Analisis melibatkan hanya RCT yang berkualiti tinggi menunjukkan ketidakpastian tentang perbezaan antara rawatan ini. Bukti menyarankan bahawa jika peluang kelahiran hidup berikutan induksi ovulasi perubatan sahaja adalah 44%, peluang kelahiran berikutan LOD adalah antara 32% dan 52%. Bukti berkualiti sederhana menunjukkan bahawa LOD mungkin mengurangkan bilangan kehamilan berganda. Bukti menyarankan bahawa jika kami menganggap peluang kehamilan berganda berikutan induksi ovulasi perubatan sahaja adalah 5.0%, peluang hamil berikutan LOD adalah antara 0.9% dan 3.4%.

Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara rawatan untuk hamil secara klinikal, dan terdapat ketidakpastian tentang kesan LOD berbanding dengan induksi ovulasi terhadap keguguran. Sindrom ovari hiperstimulasi (OHSS) mungkin kurang berlaku selepas LOD.

Kualiti bukti tidak mencukupi untuk mewajarkan kesimpulan mengenai kelahiran hidup, hamil klinikal atau keguguran untuk analisis unilateral LOD berbanding bilateral LOD.

Keputusan untuk hasil utama bagi intervensi yang lain adalah tidak mencukupi untuk membolehkan kami mencapai sebarang kesimpulan.

Kualiti bukti kajian

Bukti adalah berkualiti rendah hingga sederhana. Had utama bukti ini adalah laporan yang tidak lengkap tentang kaedah kajian, kehadiran bias yang diperkenalkan melalui pemilihan individu dan kepelbagaian keputusan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (shazlin@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information