Sokongan untuk ibu-ibu yang memberi susu ibu

Apakah isunya?

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan bayi harus diberi susu ibu secara eksklusif sehingga usia enam bulan dengan meneruskannya sebagai satu komponen penting diet bayi sehingga sekurang-kurangnya usia dua tahun. Kita tahu bahawa penyusuan susu ibu adalah baik untuk kesihatan wanita dan bayi mahupun jangka masa pendek atau panjang. Bayi kurang cenderung mendapat jangkitan paru-paru atau usus. Mereka juga kurang cenderung untuk berat badan berlebihan dan mendapat diabetes pada masa hadapan. Ibu-ibu juga kurang cenderung untuk mendapat diabetes dan mengalami kanser payudara atau kanser ovari. Ramai ibu mungkin menghentikan penyusuan lebih awal akibat permasalahan yang mereka hadapi. Penjagaan dan sokongan yang baik boleh membantu wanita mengatasi kesukaran dan mendapat keyakinan supaya mereka boleh terus menyusukan bayi.

Ulasan ini melihat sama ada penyediaan sokongan tambahan yang teratur untuk ibu-ibu yang menyusukan bayi boleh membantu ibu-ibu untuk meneruskan penyusuan berbanding penjagaan bersalin standard. Kami berminat dalam sokongan daripada profesional kesihatan termasuk bidan, jururawat dan doktor, atau daripada pekerja yang dilatih seperti pekerja kesihatan komuniti dan sukarelawan.

Mengapa ini penting?

Dengan mengetahui jenis sokongan yang boleh disediakan untuk membantu ibu-ibu dengan penyusuan susu ibu, kita boleh membantu mereka meneruskan penyusuan selama mana yang mereka mahu, dan di mana sahaja mereka berada. Penghentian awal penyusuan susu ibu boleh menyebabkan kekecewaan, kemurungan dan distres yang berpanjangan bagi ibu dan masalah kesihatan untuk ibu dan bayi. Sokongan boleh dalam bentuk penenteraman, pujian, maklumat, dan peluang bagi wanita untuk membincangkan kebimbangan dan bertanya soalan apabila perlu.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami mencari bukti pada 11 Mei 2021. Ulasan kemaskini ini menyertakan 116 kajian rawak terkawal, yang mana 103 kajian telah menyumbang kepada analisis, dari 42 negara dan melibatkan 98,816 wanita dan bayi mereka. 55% wanita adalah dari negara-negara berpendapatan tinggi, 37% daripada negara berpendapatan sederhana dan 8% daripada negara-negara berpendapatan rendah.

Dalam ulasan kemas kini ini, kami mengumpulkan intervensi kepada dua kategori. Kumpulan pertama, 'penyusuan sahaja', adalah intervensi yang hanya mengandungi sokongan penyusuan. Dalam kumpulan kedua, sokongan penyusuan susu ibu adalah sebahagian daripada intervensi yang lebih besar yang juga bertujuan untuk memberi manfaat kesihatan lain untuk ibu atau bayinya (contohnya vaksinasi, penjagaan bayi baru). Kami telah menamakannya intervensi 'penyusuan tambahan'.

Secara keseluruhan, kajian-kaian ini menunjukkan kemungkinan kurang wanita yang menerima intervensi sokongan 'penyusuan sahaja' berhenti menyusu secara eksklusif pada setiap titik masa sehingga enam bulan. Kesan terbesar adalah dari 4-6 minggu hingga 3-4 bulan di mana kami anggarkan kurang dari 17% dan 19% wanita mungkin akan menghentikan penyusuan secara eksklusif. Kesan adalah lebih kecil pada enam bulan di mana kami anggarkan kurang dari 10% wanita mungkin akan menghentikan penyusuan secara eksklusif.

Bukti juga menunjukkan wanita yang menerima sokongan 'penyusuan sahaja' berkemungkinan kecil untuk menghentikan sebarang penyusuan pada titik-titik masa sehingga dan termasuk enam bulan. Sekali lagi, kesan adalah terbesar dari 4-6 minggu hingga 3-4 bulan di mana kami anggarkan kurang dari 12% dan 13% wanita mungkin akan menghentikan sebarang penyusuan. Pada enam bulan kami anggarkan kurang dari 7% wanita mungkin akan menghentikan penyusuan. Tiada cukup kajian untuk menunjukkan jika intervensi sokongan 'penyusuan sahaja' boleh mengurangkan bilangan wanita yang menghentikan sebarang penyusuan pada sembilan bulan atau 12 bulan.

Bukti adalah kurang jelas bagi wanita yang menerima intervensi 'penyusuan tambahan'. Wanita yang menerima sokongan 'penyusuan tambahan' mungkin 27% kurang berkemungkinan untuk menghentikan penyusuan susu ibu secara eksklusif pada 4-6 minggu (bukti kepastian sangat rendah). Begitu juga, bukti menunjukkan kurang dari 21% wanita mungkin menghentikan penyusuan susu ibu secara eksklusif pada enam bulan. Kesan mana-mana penyusuan adalah lebih kecil di mana kami anggarkan kurang dari 6% wanita mungkin menghentikan sebarang penyusuan pada enam bulan. Masih tidak jelas sama ada intervensi 'penyusuan tambahan' mengurangkan bilangan wanita yang menghentikan sebarang penyusuan atau penyusuan eksklusif pada titik-titik masa lain yang dinilai.

Terdapat kurang bukti jelas tentang faktor yang boleh membantu wanita menyusukan bayi lebih lama. Walau bagaimanapun, jadual khusus empat hingga lapan kenalan boleh membantu meningkatkan bilangan wanita yang menyusu secara eksklusif pada 4-6 minggu atau enam bulan apabila menerima 'intervensi penyusuan sahaja'.

Untuk intervensi sokongan 'penyusuan sahaja', kami secara am menilai bukti sebagai kepastian sederhana. Ini bermakna kami sederhana yakin dengan penemuan-penemuan ini. Untuk intervensi sokongan 'penyusuan tambahan' kualiti bukti adalah lebih bercampur-campur dan kepastian adalah dari sederhana hingga sangat rendah.

Apakah maksudnya?

Memberi wanita sokongan tambahan yang terancang membantu mereka untuk menyusukan bayi mereka lebih lama. Sokongan penyusuan mungkin lebih membantu jika ada 4-8 lawatan berjadual. Nampaknya tiada perbezaan siapa yang menyediakan sokongan (iaitu profesional atau bukan profesional) atau cara ia disediakan (bersemuka, telefon, teknologi digital atau gabungan). Malah, pelbagai jenis sokongan mungkin diperlukan di lokasi geografi yang berbeza untuk memenuhi keperluan rakyat di lokasi tersebut. Kerja lanjut diperlukan untuk mengenal pasti komponen intervensi yang berkesan dan untuk menyampaikan intervensi pada skala lebih besar.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Raymond Chieng Siang Ching. (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information