Soalan ulasan: untuk menentukan manfaat dan mudarat berkaitan rawatan ubat-ubatan yang menyekat keradangan, yang disebut kortikosteroid, diberi selepas umur tujuh hari atau kemudian untuk mencegah atau merawat kecederaan paru-paru, yang dikenali sebagai displasia bronkopulmonari (kadangkala juga disebut penyakit paru-paru kronik), dalam kalangan bayi yang dilahirkan terlalu awal (pramasa).
Latar belakang: kortikosteroid dapat mengurangkan keradangan paru-paru dalam kalangan bayi baru lahir dengan displasia bronkopulmonari tetapi mungkin menyebabkan mudarat. Displasia bronkopulmonari adalah masalah utama bagi bayi baru lahir di unit penjagaan intensif neonatal, dan dikaitkan dengan kadar kematian lebih tinggi dan hasil jangka panjang yang teruk dalam kalangan bayi yang terselamat. Keradangan paru-paru berterusan berkemungkinan besar menjadi penyebab utama displasia bronkopulmonari. Ubat kortikosteroid mempunyai kesan anti-radang yang kuat dan telah diguna untuk mencegah atau merawat displasia bronkopulmonari, terutama dalam kalangan bayi yang tidak dapat diberhentikan dari ventilasi mekanikal.
Ciri-ciri kajian: kami mengulas semua kajian klinikal bayi pramasa yang memberi kortikosteroid sistemik, sama ada suntikan atau sebagai ubat, bermula dari umur tujuh hari pertama, dan data tentang kadar displasia bronkopulmonari dalam tempoh baru lahir. Kami sertakan 23 kajian (1817 bayi). Carian adalah terkini sehingga 25 September 2020.
Keputusan utama: ulasan ini menunjukkan pemberian kortikosteroid sistemik kepada bayi bermula pada tujuh hari atau lebih lewat selepas kelahiran mengurangkan risiko kematian dan displasia bronkopulmonari, tanpa meningkatkan kadar palsi serebrum (gangguan yang mempengaruhi keupayaan bergerak) pada zaman kanak-kanak kemudian. Walau bagaimanapun, hasil jangka panjang belum dikaji dengan baik. Adalah bijak untuk mengehadkan penggunaan kortikosteroid sistemik lewat kepada bayi yang tidak dapat diberhentikan dari ventilasi mekanikal dan meminimumkan sebarang dos dan tempoh rawatan.
Keputusan dua kajian yang sedang berlangsung masih ditunggu.
Kepastian bukti: secara keseluruhan, kepastian bukti yang menyokong kesimpulan kami untuk hasil utama adalah tinggi.
Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my