Kortikosteroid postnatal sistemik awal (bermula dalam masa enam hari) untuk mencegah displasia bronkopulmonari dalam kalangan bayi pramasa

Objektif ulasan: Untuk menentukan manfaat dan mudarat relatif rawatan dengan ubat-ubatan yang menyekat keradangan, dipanggil kortikosteroid yang diberi kepada bayi yang lahir terlalu awal pada minggu pertama selepas lahir untuk mencegah kecederaan paru-paru yang dikenali sebagai displasia bronkopulmonari (kadangkala juga disebut penyakit paru-paru kronik).

Latar belakang: Displasia bronkopulmonari adalah masalah besar bagi bayi yang baru lahir di unit penjagaan intensif neonatal. Keradangan paru-paru berterusan mungkin menjadi puncanya. Ubat kortikosteroid telah diguna untuk mencegah atau merawat displasia bronkopulmonari melalui kesan anti-radangnya yang kuat, namun ia mungkin menghasilkan kesan buruk major.

Ciri-ciri kajian: Kami mengulas semua kajian klinikal dalam kalangan bayi pramasa yang diberi kortikosteroid sistemik sama ada secara suntikan atau sebagai ubat di minggu pertama selepas lahir yang mana data tentang kadar displasia bronkopulmonari dalam tempoh baru lahir tersedia. Kami sertakan 32 kajian (4395 bayi). Carian adalah terkini sehingga 25 September 2020.

Keputusan utama: Ulasan kajian ini mendedahkan manfaat memberi kortikosteroid sistemik kepada bayi bermula dalam enam hari selepas lahir mungkin tidak melebihi kesan buruk yang diketahui. Walau bagaimanapun, kortikosteroid tertentu yang dipanggil hidrokortison menunjukkan potensi dalam memperbaik hasil jangka pendek tanpa mempengaruhi perkembangan neuro jangka panjang, walaupun data tentang hasil jangka panjang adalah terhad setakat ini. Kesan manfaat keseluruhan kortikosteroid sistemik termasuk masa ventilator yang lebih singkat dan kurang displasia bronkopulmonari, kesan buruk termasuk tekanan darah lebih tinggi, perdarahan dari perut atau usus, perforasi usus, glukosa berlebihan dalam aliran darah, dan peningkatan risiko palsi serebrum semasa susulan, terutama mereka yang dirawat dengan dexamethasone - satu lagi jenis kortikosteroid. Penggunaan awal kortikosteroid terutamanya dexamethasone untuk merawat atau mencegah displasia bronkopulmonari perlu dihadkan sehingga penyelidikan tambahan dilakukan.

Kepastian bukti: secara keseluruhan, kepastian bukti yang menyokong kesimpulan kami adalah tinggi.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information