Apakah sekatan saraf periferi?
Sekatan saraf periferi (PNB) ialah suntikan anestetik tempatan yang hampir dengan saraf untuk menyekat isyarat sakit ke otak. PNB boleh digunakan sendirian atau bersama dengan ubat penahan sakit yang lain. Ia boleh diberikan sebagai suntikan tunggal atau berterusan, menggunakan kateter (titisan).
Mengapa soalan ini penting?
Patah tulang pinggul biasanya berlaku pada orang tua. Pembedahan biasanya diperlukan untuk memperbaiki tulang. Patah tulang pinggul adalah sangat menyakitkan. Opioid seperti morfin, yang merupakan ubat penahan sakit yang kuat, sering digunakan untuk mengatasi sakit patah tulang pinggul. Orang tua tidak bertoleransi dengan dos opioid yang tinggi dengan baik. Juga, orang yang mengalami patah tulang pinggul mungkin mengalami komplikasi seperti kekeliruan, serangan jantung dan jangkitan dada.
Dengan mengurangkan penggunaan opioid dan merawat kesakitan secara lebih baik, PNB dapat meningkatkan pergerakan orang yang mengalami patah tulang pinggul dan mengurangkan risiko komplikasi.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada menggunakan PNB berbanding dengan tidak ada sekatan saraf (tidak ada sekatan sama sekali atau sekatan saraf plasebo), pada orang yang mengalami patah tulang pinggul dapat mengurangkan:
• kesakitan semasa pergerakan;
• kekeliruan, serangan jantung, dan jangkitan dada;
• kematian daripada sebarang sebab dalam tempoh enam bulan;
• tempoh masa sehingga pesakit boleh bergerak selepas pembedahan; dan
• kos ubat yang digunakan untuk mengatasi kesakitan.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari pangkalan data perubatan untuk kajian-kajian yang menyelidik penggunaan PNB berbanding tidak ada sekatan saraf yang berkesan (iaitu tidak ada sekatan sama sekali atau sekatan plasebo) untuk kesakitan pada orang yang mengalami patah tulang pinggul. Peserta kajian perlu berumur lebih daripada 16 tahun dan mengalami patah tulang pinggul. Kami mencari kajian rawak terkawal (RCT), di mana rawatan yang diterima peserta adalah ditentukan secara rawak.
Apa yang kami temui
Kami merangkumkan 49 kajian dengan 3061 peserta (purata umur 59 hingga 89 tahun); 1553 peserta menerima PNB dan 1508 tidak menerima sekatan saraf. Ubat tambahan untuk melegakan rasa sakit, termasuk opioid, adalah tersedia untuk semua peserta apabila diperlukan. Kajian dilakukan di pelbagai negara dan diterbitkan antara tahun 1980 hingga 2020. Dua puluh enam kajian mendapat pembiayaan bukan komersial, dan sumber pembiayaan tidak dinyatakan bagi kajian yang lain.
Keputusan utama
PNB mengurangkan kesakitan semasa pergerakan sebanyak 2.5 pada skala 1 hingga 10, berbanding dengan tidak ada sekatan saraf (11 kajian, 503 peserta). PNB mengurangkan risiko kekeliruan; untuk setiap 12 pesakit dengan patah tulang pinggul, kurang seorang pesakit yang akan menjadi keliru dengan PNB (13 kajian, 1072 peserta). Kami tidak menemui perbezaan dalam risiko serangan jantung (1 kajian, 31 peserta).
PNB mungkin mengurangkan risiko jangkitan dada (3 kajian, 131 peserta) dan masa untuk pergerakan pertama selepas pembedahan sebanyak 11 jam (3 kajian, 208 peserta). Kami tidak menemui perbezaan dalam kematian daripada sebarang sebab dalam tempoh enam bulan (11 kajian, 617 peserta). Kos ubat-ubatan yang digunakan untuk mengatasi kesakitan adalah sedikit lebih rendah apabila suntikan tunggal PNB dibandingkan dengan tanpa PNB (1 kajian, 75 peserta).
Sejauh mana dapatan kajian ini boleh dipercayai?
Keyakinan (kepastian) kami terhadap bukti untuk mengurangkan kesakitan semasa pergerakan dan untuk mengurangkan kekeliruan adalah tinggi; kami cukup yakin dengan bukti penurunan jangkitan dada. Walau bagaimanapun, kami kurang yakin dengan bukti serangan jantung, kematian, masa bagi pergerakan pertama, dan kos ubat-ubatan yang digunakan untuk mengatasi kesakitan, terutamanya kerana bukti ini didapati daripada kajian-kajian yang kecil dengan sedikit peserta.
Apakah maksudnya?
Kami menjumpai cukup bukti berkualiti untuk menyokong penggunaan PNB pada pesakit dengan patah tulang pinggul. Kajian yang lebih besar adalah diperlukan untuk menjelaskan kesan PNB terhadap serangan jantung dan kematian.
Adakah ulasan ini terkini?
Ini adalah ulasan yang dikemas kini. Bukti adalah terkini sehingga 16 November 2019.
Diterjemahkan oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia) Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi kamisah@uitm.edu.my