Soalan ulasan
Adakah kortikosteroid berkesan dan selamat untuk rawatan lichen planus oral yang menyebabkan kesakitan?
Latar belakang
Lichen planus oral adalah keadaan biasa yang boleh menyebabkan kesakitan jangka panjang pada kawasan lapisan mulut. Rawatan biasa adalah dengan ubat-ubatan yang dikenali sebagai kortikosteroid yang digunakan terus ke kawasan yang menyakitkan (secara topikal), atau diambil secara dalaman (secara sistematik). Rawatan bertujuan untuk mengurangkan kesakitan dan meningkatkan penyembuhan mulut, tetapi tidak ada ubat untuk penyakit tersebut.
Ciri-ciri kajian
Bukti ulasan adalah terkini sehingga 25 Februari 2019. Kami memasukan 35 kajian terkawal rawak (kajian klinikal di mana orang ramai secara rawak dimasukkan ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) dengan 1474 peserta, yang menguji beberapa kortikosteroid yang berbeza, kebanyakannya disapu secara topical (pada kulit). Kortikosteroid dibandingkan dengan salah satu yang berikut: plasebo (rawatan yang menyerupai kortikosteroid tetapi tidak mempunyai bahan aktif); ubat dari kategori yang disebut perencat calcineurin; jenis ubat lain; kortikosteroid atau cara penyampaian lain; kortikosteroid yang sama ditambah dengan rawatan tambahan; atau rawatan alternatif. Rawatan diberikan selama antara satu minggu dan enam bulan, dengan kesan sampingan yang diukur sepanjang rawatan, dan kesakitan dan penyembuhan diukur pada akhir rawatan.
Keputusan utama
Keputusan daripada dua kajian menunjukkan bahawa kortikosteroid topikal (contohnya clobetasol propionate, flucinonide, betamethasone dan triamcinolone asonide), apabila disapu ke mulut dalam bentuk krim melekit, mungkin berkesan dalam mengurangkan dan menghentikan kesakitan. Kami tidak mempunyai bukti bahawa kortikosteroid topikal dapat menghilangkan luka lichen planus oral, dan kami tidak pasti akan kesan sampingannya.
Kami mendapati tiada bukti yang konsisten bahawa korticosteroid tertentu adalah lebih baik daripada mana-mana yang lain.
Tiga kajian menggunakan satu lagi ubat topikal yang dipanggil tacrolimus (perencat calcineurin) mendapati bahawa ubat ini mungkin lebih berkesan daripada kortikosteroid, tetapi mungkin lebih cenderung menyebabkan kesan sampingan yang ringan.
Bukti yang membandingkan kortikosteroid dengan rawatan lain adalah sangat terhad.
Kebolehpercayaan bukti
Kebolehpercayaan kebanyakan bukti adalah sangat rendah, jadi kami tidak dapat memastikan tentang penemuan dan penyelidikan masa depan boleh membawa kita kepada kesimpulan yang berbeza.
Kesimpulan
Bukti yang ada menunjukkan bahawa kortikosteroid topikal mungkin berkesan untuk merawat lichen planus oral yang menyakitkan, tetapi keyakinan kami terhadap penemuan ini adalah terhad kerana bilangan kajian dan peserta adalah kecil. Terdapat beberapa bukti bahawa tacrolimus mungkin lebih berkesan daripada kortikosteroid, tetapi bukti tentang kesan sampingan yang negatif adalah tidak kukuh.
Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi Mara). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my