Apakah tujuan ulasan ini?
Dalam ulasan Cochrane ini, kami berhasrat untuk mengetahui sama ada pekerja kesihatan yang diberi peringatan melalui kertas memberi penjagaan kesihatan yang lebih baik. Peringatan mengandungi maklumat tentang pesakit-pesakit, contohnya cadangan untuk mengukur tekanan darah. Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan dan menjumpai 63 kajian.
Mesej-mesej utama
Nampaknya memberi peringatan kepada pekerja kesihatan mungkin membawa kepada penambahbaikan yang kecil hingga sederhana dalam amalan mereka yang diukur sebagai kepatuhan kepada cadangan-cadangan klinikal. Tidak pasti sama ada pembekalan peringatan mempunyai kesan terhadap hasil pesakit.
Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Pekerja kesihatan tidak selalunya memberikan penjagaan yang disyorkan oleh garis panduan atau piawaian klinikal, kerana terlalu banyak maklumat atau kelalaian yang tidak disengajakan. Satu penyelesaian yang mungkin adalah memberi mereka peringatan melalui kertas yang tidak dihaslkan oleh komputer. Ini adalah sangat penting terutamanya di negara-negara di mana rekod elektronik tidak tersedia secara meluas. Peringatan mungkin membantu pekerja kesihatan mengatasi masalah-masalah tersebut dengan mendorong mereka untuk mengikuti cadangan-cadangan klinikal dalam garis panduan atau dengan membekalkan maklumat dengan cara yang mudah dan tepat pada masanya. Dalam ulasan ini, kami menilai kesan peringatan yang dijana secara manual dan dihantar melalui kertas terhadap amalan profesional dan hasil pesakit.
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Kami mengenal pasti 63 kajian dan memasukkan 57 dalam analisis kami. Kajian-kajian ini menilai peringatan yang bertujuan untuk mengarahkan ujian saringan, menyediakan vaksinasi, memberikan ubatan tertentu, atau membincangkan penjagaan dengan pesakit. Kajian-kajian menunjukkan bahawa:
- peringatan sahaja (intervensi komponen tunggal) mungkin meningkatkan amalan profesional, diukur sebagai pematuhan dengan cadangan-cadangan, berbanding dengan penjagaan biasa;
- peringatan yang ditambah kepada satu atau lebih intervensi bersama (intervensi pelbagai komponen) mungkin sedikit meningkatkan amalan profesional, diukur sebagai pematuhan dengan cadangan-cadangan, berbanding dengan intervensi bersama tanpa komponen peringatan;
- peringatan mungkin membawa kepada amalan profesional yang sedikit lebih buruk daripada intervensi yang lain dalam peningkatan kualiti, seperti peringatan pesakit;
- tidak pasti sama ada peringatan berbanding dengan rawatan biasa atau intervensi peningkatan kualiti yang lain meningkatkan hasil pesakit;
- peringatan yang ditambah kepada intervensi peningkatan kualiti yang lain boleh membuat sedikit atau tiada perbezaan terhadap hasil pesakit berbanding intervensi kualiti sahaja;
- terdapat kos-kos tambahan untuk mendapatkan kesan yang diterangkan di atas, tetapi kepentingan tentang angka yang dibentangkan adalah tidak pasti;
- tiada kajian yang disertakan melaporkan hasil yang berkaitan dengan kemudaratan atau kesan buruk.
Adakah ulasan ini terkini?
Penulis-penulis ulasan mencari kajian-kajian yang telah diterbitkan sehingga Disember 2018.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com