Apabila seseorang menjalani pembedahan abdomen, mereka berisiko untuk mendapat jangkitan yang selalunya boleh disembuhkan dengan penggunaan antibiotik. Walau bagaimanapun, lebih baik memberi antimikrob sebelum pembedahan untuk mencegah jangkitan (profilaksis atau penggunaan sebagai profilaktik) daripada menunggu sehingga berlaku jangkitan. Ulasan ini melihat kepada bukti dalam pemberian antibiotik sebelum pembedahan dijalankan.
Ulasan ini menemui 260 kajian yang melibatkan lebih daripada 43 ribu orang yang menjalani pembedahan abdomen. Kajian-kajian ini mempunyai beberapa batasan yang berkaitan dengan bilangan orang yang tinggal di dalam kajian ini dan kemungkinan keputusan kajian ini telah terjejas kerana beberapa orang penyelidik dalam kajian ini mengenail orang yang telah menerima antibiotik sebelum pembedahan. Walau bagaimanapun, apabila keputusan dianalisis, kesan antibiotik profilaktik memberi faedah yang konsisten, ini bermakna batasan-batasan ini tidak mungkin memberikan impak yang besar ke atas sifat keputusan secara keseluruhannya Jangkitan luka pembedahan abdomen dalam kalangan pesakit yang menjalani pembedahan usus besar berlaku kepada lebihkurang 40% pesakit jika antibiotik tidak diberikan. Risiko ini dapat dikurangkan dengan ketara jika pesakit diberikan antibiotik sebagai profilaksis sebelum pembedahan. Antibiotik yang diberikan biasanya perlu merangkumi tindakan terhadap pelbagai jenis bakteria, sesetengah bakteria memerlukan oksigen (bakteria aerobik) sementara yang lain tidak memerlukan oksigen (bakteria anaerobik). Mereka biasanya diberikan melalui kannula yang disuntik ke dalam vena, walaupun terdapat bukti bahawa kombinasi antibiotik secara oral dan intravena boleh memberikan lebih perlindungan. Penemuan terakhir ini menimbulkan masalah dalam amalan klinikal semasa yang mengelakkan pembersihan kolon secara mekanikal kerana ianya tidak difikirkan perlu sebelum pembedahan (dan tidak disukai dalam kalangan pesakit). Kajian yang menemui faedah dalam penggunaan antibiotik secara oral telah dilakukan pada satu masa bila mana pembersihan kolon secara mekanikal dijalankan dengan rutin. Berdasarkan amalan semasa mengenai pembersihan kolon secara mekanikal sebelum pembedahan kolon, manfaat dalam penggunaan antibiotik secara oral tidak dapat dikenalpasti.
Diterjemahkan oleh Zi Yan Chiah (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi Chris_ZY@live.com