Intervensi kejururawatan untuk berhenti rokok

Latar belakang

Kebanyakan perokok ingin berhenti merokok, dan boleh dibantu dengan sokongan dan nasihat dari profesional penjagaan kesihatan. Jururawat adalah tenaga kerja perawatan kesihatan terbesar, dan terlibat dalam hampir semua peringkat penjagaan kesihatan. Tujuan utama sorotan ini adalah untuk menentukan jika intervensi kejururawatan boleh membantu perokok dewasa untuk berhenti merokok.

Ciri-ciri kajian

Ulasan kajian klinikal ini mengandungi 58 kajian di mana jururawat menyampaikan satu intervensi berhenti merokok kepada perokok. Lebih 20,000 peserta telah dimasukkan ke dalam analisa utama, termasuklah orang dewasa yang dimasukkan ke hospital dan orang dewasa dalam masyarakat umum. Carian terkini dijalankan pada bulan Januari 2017. Semua kajian melaporkan sama ada atau tiada peserta telah berhenti merokok pada enam bulan atau lebih lama.

Keputusan utama

Sorotan ini memperolehi bukti berkualiti sederhana bahawa nasihat dan sokongan daripada jururawat boleh meningkatkan kejayaan mereka dalam berhenti merokok, sama ada di dalam hospital atau di dalam persekitaran komuniti. Sebelas kajian membandingkan intervensi yang diberikan oleh jururawat yang berlainan dan mendapati tambahan komponen tidak mengubah kesannya.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah sederhana, yang bermaksud penyelidikan seterusnya dapat mengubah keyakinan kami terhadap hasilnya. Ini kerana keputusan adalah tidak konsisten merentasi semua kajian, dan dalam beberapa kes tidak banyak kajian yang menyumbang kepada perbandingan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my

Tools
Information