Bolehkah bantuan pernafasan menggunakan tekanan saluran udara positif berterusan (CPAP), yang diberikan dalam sejam pertama kehidupan, mencegah kematian dan penyakit pada bayi pramatang?

Mesej utama

Bayi pramatang diberi sokongan pernafasan dalam sejam pertama kehidupan dengan tekanan saluran udara positif berterusan (CPAP) – di mana udara ditolak ke dalam hidung bayi pada tekanan tetap dan bayi bernafas dengan sendirinya – berbanding dengan oksigen sahaja, mungkin kurang berkemungkinan diletakkan pada ventilator - di mana tiub dimasukkan ke dalam paru-paru bayi dan mesin bernafas untuk bayi.

CPAP pada jam pertama selepas kelahiran berbanding dengan ventilator mungkin membawa kepada kurangnya kerosakan paru-paru, kematian dan keperluan untuk bayi diletakkan pada ventilator.

Satu kajian kecil melihat kesan masa CPAP selepas kelahiran (sehingga 15 minit berbanding sehingga 1 jam), jadi tidak ada bukti yang mencukupi untuk membuat pertimbangan mengenai masa.

Apakah tekanan saluran udara positif berterusan?

Tekanan saluran udara positif berterusan (CPAP) membantu orang yang mengalami kesukaran bernafas dengan menolak udara ke dalam paru-paru mereka melalui hidung pada tekanan berterusan. Udara dihantar melalui topeng yang sesuai di atas hidung, atau serampang yang terletak di dalam lubang hidung. CPAP adalah kurang invasif daripada pengudaraan mekanikal, apabila tiub dimasukkan ke dalam kerongkong ke dalam paru-paru dan mesin (ventilator) 'bernafas' untuk pesakit. CPAP menyediakan lebih banyak sokongan pernafasan daripada hanya memberi oksigen. 

Bagaimanakah CPAP membantu bayi pramatang?

Bayi pramatang adalah bayi yang dilahirkan sebelum 37 minggu perkembangan (kehamilan). Mereka mungkin mengalami masalah bernafas kerana paru-paru mereka tidak berkembang sepenuhnya. Ini dipanggil 'sindrom gangguan pernafasan' (RDS). Bayi pramatang dengan RDS tidak teruk boleh dirawat dengan haba, cecair, kalori dan oksigen. Bayi yang mengalami RDS teruk diberi sokongan pernafasan dengan CPAP atau ventilator. Bayi bernafas sendiri dengan CPAP, tetapi tekanan aliran udara yang CPAP berikan memastikan saluran pernafasan bayi terbuka di antara pernafasan. Bayi yang menggunakan CPAP mengelak daripada diletak di ventilator, yang boleh menyebabkan kerosakan paru-paru, seperti displasia bronkopulmonari (BPD).

CPAP boleh diberikan dalam tempoh 15 minit pertama selepas kelahiran (CPAP pencegahan), atau sehingga sejam selepas kelahiran sebagai terapi jika bayi menunjukkan tanda-tanda awal RDS (CPAP sangat awal). 

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada CPAP pencegahan dan CPAP sangat awal adalah berkesan dalam mencegah RDS pada bayi pramatang. Kami berminat dengan:

- berapa ramai bayi yang mempunyai BPD;
- sama ada CPAP berjaya menyokong pernafasan bayi, atau jika mereka perlu diletakkan pada ventilator;
- berapa banyak bayi meninggal dunia; dan
- gabungan bilangan bayi yang meninggal dunia atau mengalami BPD.

Apa yang kami buat? 
Kami mencari kajian yang menyiasat CPAP yang diberikan kepada bayi pramatang 15 minit selepas kelahiran, sama ada mereka menunjukkan tanda-tanda RDS atau tidak, dan kepada bayi pramatang yang menunjukkan tanda-tanda awal RDS sehingga 1 jam selepas kelahiran. Kajian perlu membandingkan:

- CPAP berbanding dengan penjagaan sokongan, termasuklah oksigen tambahan;
- CPAP berbanding meletakkan bayi pada ventilator; dan
- CPAP pencegahan berbanding CPAP sangat awal.

Apakah yang kami dapati?

Kami mendapati 8 kajian dengan sejumlah 3201 bayi antara 24 hingga 32 minggu kehamilan:

- 4 kajian dengan 765 bayi membandingkan CPAP dengan penjagaan sokongan;
- 3 kajian dengan 2364 bayi membandingkan CPAP dengan pengudaraan; dan
- 1 kajian dengan 72 bayi membandingkan CPAP pencegahan dengan CPAP yang sangat awal.

Kajian berlaku di negara berpendapatan tinggi dan sederhana: Argentina, Australia, Brazil, Kanada, Chile, Itali, New Zealand, Paraguay, Peru, Uruguay, dan AS. Bayi pramatang atau sangat pramatang, atau berat lahir sangat rendah (kurang daripada 1500 gram); tiada kajian yang memasukkan bayi pramatang lewat atau bayi berat lahir rendah.

Keputusan utama

Berbanding dengan penjagaan sokongan, CPAP:

- memberi sedikit hingga tiada perbezaan pada BPD sehingga 28 hari selepas kelahiran;
- boleh menyebabkan sedikit bayi yang perlu diletakkan pada ventilator; dan
- mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan untuk gabungan jumlah kematian dan BPD.

Berbanding dengan ventilator, CPAP:

- mungkin mengurangkan BPD sehingga 36 minggu selepas kelahiran;
- mungkin mengurangkan hampir separuh keperluan untuk bayi diletakkan pada ventilator; dan
mengurangkan jumlah gabungan kematian dan BPD.

Disebabkan bukti yang tidak mencukupi, kami tidak tahu sama ada CPAP pencegahan berbanding CPAP sangat awal memberi sebarang perbezaan kepada BPD sehingga 28 hari selepas kelahiran, mengurangkan atau meningkatkan bilangan kematian sehingga 28 hari selepas kelahiran, atau mengurangkan keperluan untuk bayi diletakkan pada ventilator.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai bukti terhad tentang CPAP berbanding dengan penjagaan sokongan. CPAP berbanding dengan ventilator mungkin mengurangkan BPD dan gabungan bilangan kematian dan BPD. Kami sangat tidak pasti tentang kesan CPAP pencegahan berbanding dengan CPAP sangat awal kerana terdapat satu kajian kecil yang kekurangan butiran yang kami perlukan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ini mengemas kini ulasan kami sebelum ini. Bukti adalah terkini sehingga 6 November 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Foo Sook Lee (RCSI & UCD Malaysia Campus). Dikemaskini. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information