Vaksin untuk mencegah influenza dalam kalangan orang dewasa yang sihat

Matlamat ulasan

Matlamat Ulasan Cochrane yang pertama kali diterbitkan pada 1999, adalah untuk merumuskan penyelidikan yang melihat kesan imunisasi orang dewasa yang sihat dengan vaksin influenza semasa musim-musim influenza. Kami menggunakan maklumat daripada kajian rawak yang membandingkan vaksin dengan vaksin tiruan atau tanpa vaksin. Kami memfokuskan keputusan kajian yang melihat vaksin yang berasaskan virus influenza yang tak teraktif, yang disediakan secara membunuh virus influenza dengan bahan kimia dan diberikan secara suntikan melalui kulit. Kami menilai kesan vaksin mengurangkan bilangan orang dewasa yang disahkan dengan influenza dan bilangan orang dewasa yang mengalami gejala seperti influenza seperti sakit kepala, suhu tinggi, batuk, dan sakit otot (penyakit seperti influenza atau ILI). Kami juga menilai kemasukan ke hospital dan kemudaratan yang timbul daripada vaksin. Data pemerhatian yang dimasukkan ke dalam versi tinjauan terdahulu dikekalkan atas sebab-sebab sejarah tetapi tidak dikemas kini kerana kurang pengaruhnya terhadap kesimpulan ulasan

Apa yang telah dikaji dalam ulasan ini?

Lebih dari 200 virus menyebabkan ILI, yang menghasilkan gejala yang sama (demam, sakit kepala, sakit, nyeri, batuk, dan hidung berair) seperti influenza. Tanpa ujian makmal, doktor tidak dapat membezakan antara ILI dan influenza kerana kedua-duanya bertahan untuk beberapa hari dan jarang menyebabkan penyakit yang serius atau kematian. Jenis-jenis virus yang terkandung dalam vaksin influenza adalah yang biasanya dijangka beredar dalam musim influenza yang berikutnya, mengikut syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (vaksin bermusim). Vaksin pandemik mengandungi hanya strain virus yang bertanggungjawab untuk pandemik (iaitu jenis A H1N1 bagi pandemik 2009 ke 2010).

Keputusan utama

Kami mendapati 52 kajian klinikal dengan lebih 80,000 orang dewasa. Kami tidak dapat menentukan impak bias kira-kira 70% daripada kajian yang dimasukkan kerana kekurangan butir-butir laporan. Kira-kira 15% daripada kajian dimasukkan telah direka bentuk dan dijalankan dengan baik. Kami memfokus kepada laporan keputusan daripada 25 kajian yang melihat vaksin yang tak teraktif. Vaksin influenza yang disuntik mungkin mempunyai kesan perlindungan yang kecil terhadap influenza dan ILI (bukti kepastian sederhana), 71 orang perlu diberi vaksin untuk mengelakkan satu kes influenza, dan 29 perlu diberi vaksin untuk mengelakkan satu kes ILI. Vaksinasi mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ketara terhadap kemasukan hospital (bukti kepastian rendah) atau bilangan hari bekerja yang hilang.

Kami tidak pasti tentang perlindungan yang diberi kepada wanita hamil terhadap ILI dan influenza oleh vaksin influenza yang tak teraktif, atau ini sekurang-kurangnya sangat terhad.

Pemberian vaksin bermusim semasa hamil menunjukkan tiada kesan ketara terhadap keguguran atau kematian neonatal, tetapi bukti tersebut adalah dalam pemerhatian.

Mesej utama

Vaksin yang tak teraktif boleh mengurangkan perkadaran orang dewasa yang sihat (termasuk wanita hamil) yang ada influenza dan ILI, tetapi impaknya adalah sederhana. Kami tidak pasti mengenai kesan vaksin yang tak teraktif terhadap kehilangan bilangan hari bekerja atau komplikasi serius influenza semasa musim influenza.

Adakah ulasan ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 31 Disember 2016

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nila Pillai. (Penang Medical College). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Dikemaskini oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi nila@pmc.edu.my.

Tools
Information