Soalan ulasan: Ulasan ini mempertimbangkan persoalan sama ada mucolytics boleh membantu untuk orang yang mempunyai bronchiectasis tanpa cystic fibrosis. Kajian peserta dengan cystic fibrosis tidak disertakan dalam ulasan ini, dan kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan tentang kaitan rawatan ini kepada penghidap cystic fibrosis.
Latar belakang: Bronchiectasis adalah keadaan paru-paru yang biasanya berkembang selepas beberapa siri masalah paru-paru (seperti jangkitan kanak-kanak, masalah dalam struktur paru-paru, batuk kering dan cystic fibrosis). Banyak lendir (kahak) terkumpul di dalam paru-paru, menyebabkan ketidakselesaan dan keperluan untuk dibatuk keluar. Kahak tersebut juga mengumpul bakteria, yang boleh menambah kesukaran bernafas. Ubat mucolytic memecahkan kahak, yang boleh memudahkan ia dibatuk keluar.
Ciri-ciri kajian: Empat kajian (dengan sejumlah 528 peserta) telah dikenal pasti memenuhi kriteria kemasukan membandingkan rawatan mucolytic berbanding tiada rawatan mucolytic. Semua kajian dijalankan pada orang dewasa. Satu kajian menbandingkan bromhexine dengan plasebo, dua membandingkan RhDNase dengan plasebo (satu untuk tempoh dua minggu dan satu lagi dalam tempoh 24 minggu) dan yang keempat membandingkan erdosteine dengan fisioterapi berbanding fisioterapi sahaja dalam pesakit tua. Bilangan kajian tersedia yang sedikit untuk ulasan dan reka bentuknya yang berbeza bermakna hanya huraian kajian individu boleh dilakukan dengan peluang yang sangat terhad untuk menggabungkan kajian dalam analisis tunggal.
Keputusan utama: Tiada bukti kukuh yang tersedia untuk menyokong penggunaan ubat-ubatan ini pada orang yang mengalami bronchiectasis (daripada punca selain daripada cystic fibrosis); namun adalah tidak mungkin untuk membuat sebarang kesimpulan yang jelas, kerana begitu sedikit kajian yang dilaporkan.
Kualiti bukti: Butiran tentang cara pesakit diperuntukkan untuk menerima atau tidak menerima mucolytics tidak diterangkan dengan jelas dalam mana-mana empat kajian. Ini telah dipertimbangkan dengan teliti dalam ulasan berhubung dengan tahap ketidakpastian kami dalam mentafsir keputusan. Apabila ini diambil kira, bersama-sama dengan ketidaktepatan keputusan, anggaran kegunaan mucolytics sebagai rawatan secara amnya dinilai sebagai berkualiti rendah berhubung dengan bronchiectasis (fibrosis bukan cystic).
Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my