Penggunaan ejen cecair dan farmakologi (ubatan) untuk mencegah pembentukan lekatan (tisu parut) selepas pembedahan pelvis wanita

Soalan ulasan: Ulasan Cochrane ini menilai penggunaan ejen cecair dan farmakologi yang bertujuan untuk mencegah pembentukan lekatan selepas pembedahan ginekologi (kami mendefinisikan gel sebagai ejen cecair).

Latar belakang: Lekatan adalah sejenis tisu parut, yang boleh menyebabkan dua permukaan yang biasanya terpisah di dalam badan saling melekat. Lekatan sering terbentuk di dalam pelvis berikutan pembedahan, jangkitan, atau disebabkan oleh endometriosis. Lekatan yang disebabkan oleh pembedahan ginekologi boleh menyebabkan kesakitan dan pengurangan kesuburan. Wanita dengan lekatan sering memerlukan pembedahan lanjut. Strategi untuk mencegah pembentukan lekatan termasuk penggunaan ejen cairan dan gel, yang bertujuan untuk mencegah tisu yang sedang sembuh daripada menyentuh satu sama lain, atau ubat-ubatan, yang bertujuan untuk mengubah aspek proses penyembuhan, untuk membuat lekatan cenderung tidak terbentuk.

Ciri-ciri kajian: Kami memasukkan 32 kajian terkawal secara rawak (3492 wanita). Kami mengumpulkan hasil 23 kajian (2796 wanita). Kami tidak dapat mengumpulkan hasil dari sembilan kajian yang tinggal, kerana penyelidik sama ada mengukur lekatan dengan cara yang tidak memungkinkan kami mengumpulkan hasil penemuan dengan data lain, atau tidak melaporkan maklumat statistik yang penting. Kami mencari semua bukti sehingga Ogos 2019.

Keputusan utama:

Cecair dan gel kelihatan berkesan dalam mengurangkan lekatan, tetapi lebih banyak maklumat diperlukan untuk menentukan sama ada ia mempengaruhi kesakitan pelvis atau kadar kelahiran hidup. Kajian yang besar dan berkualiti tinggi harus dilakukan di mana penyelidik menggunakan cara piawai untuk mengukur lekatan, yang dikembangkan oleh American Fertility Society (skor AFS yang diubah).

Untuk hasil kesakitan: satu kajian melaporkan hasil yang tidak pasti mengenai kesan ejen cecair (4% icodextrin, polimer glukosa) terhadap kesakitan pelvis. Tidak ada kajian yang melaporkan hasil kesakitan pelvis dengan intervensi lain.

Untuk hasil kesuburan: hasil gabungan dua kajian tentang ejen cecair (dextran, polimer glukosa lain) mendapati kesan yang tidak menentu terhadap kadar kelahiran hidup. Data menunjukkan bahawa dalam wanita dengan peluang 13% melahirkan tanpa rawatan, 4% hingga 19% akan melahirkan jika dirawat dengan ejen cecair. Hasil gabungan dua kajian mengenai steroid mendapati kesan yang tidak pasti terhadap kadar kelahiran hidup. Data menunjukkan bahawa dalam wanita dengan peluang 13% melahirkan tanpa rawatan, 4% hingga 19% akan melahirkan jika dirawat dengan steroid. Tidak ada kajian yang melaporkan kadar kelahiran hidup dengan intervensi lain.

Kami tidak pasti sama ada ejen cecair, ejen gel, atau steroid mempengaruhi kadar kehamilan klinikal berbanding dengan tanpa rawatan. Tidak ada kajian yang membandingkan kesan ejen cecair dengan ejen gel yang melaporkan kadar kehamilan klinikal.

Untuk hasil lekatan pada SLL: empat kajian mendapati bahawa ejen cecair mengurangkan kejadian lekatan pada laparoskopi pandangan kedua (SLL) berbanding tanpa rawatan (bukti berkualiti tinggi). Ini menunjukkan bahawa dalam wanita dengan peluang 84% mengalami lekatan pada SLL dengan tanpa rawatan, penggunaan ejen cecair akan mengakibatkan 54% hingga 75% mengalami lekatan. Lima kajian mendapati bahawa ejen gel mengurangkan kejadian lekatan pada SLL berbanding tanpa rawatan (bukti berkualiti tinggi). Ini menunjukkan bahawa dalam wanita dengan peluang 84% mengalami lekatan pada SLL dengan tanpa rawatan, menggunakan ejen gel akan mengakibatkan 39% hingga 75% mengalami lekatan. Tiga kajian mendapati bahawa ejen gel mungkin mengurangkan kejadian lekatan pada SLL berbanding dengan ejen cecair (bukti kualiti sederhana). Ini menunjukkan bahawa dalam wanita dengan 46% peluang mengalami lekatan pada SLL dengan ejen cecair, menggunakan ejen gel akan mengakibatkan 21% hingga 41% mengalami lekatan.

Lapan kajian mengkaji kesan ejen gel atau ejen cecair pada purata skor lekatan. Kami tidak pasti adakah ia mempunyai kesan jika dibandingkan dengan rawatan, atau antara satu sama lain.

Tidak ada kajian yang melaporkan kesan steroid pada kejadian lekatan atau purata skor lekatan pada SLL.

Untuk hasil kejadian buruk: tidak ada kajian yang melaporkan sebarang kejadian buruk yang disebabkan oleh intervensi yang dikaji.

Kualiti bukti: Kualiti bukti adalah pelbagai dari sangat rendah hingga tinggi. Sebab utama untuk menurunkan kualiti bukti adalah ketidaktepatan (ukuran sampel kecil dan selang keyakinan yang luas yang melintasi garis tanpa kesan), dan kaedah laporan yang lemah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd,edu,my

Tools
Information