Apakah isunya?
Kranberi (sebagai jus kranberi, tablet atau kapsul) telah digunakan selama bertahun-tahun untuk mencegah jangkitan saluran kencing (UTI). Kranberi mengandungi proanthocyanidins (PACs), bahan yang boleh menghalang bakteria daripada melekat pada dinding pundi kencing. Ini boleh membantu mencegah jangkitan dan mengurangkan keperluan untuk orang yang bekerja mengambil masa untuk temu janji perubatan. Walau bagaimanapun, pada masa ini tiada rejimen yang ditetapkan untuk dos PAC untuk digunakan dan tiada peraturan rasmi oleh pihak berkuasa kesihatan produk kranberi. Khususnya, dos yang dicadangkan mungkin tidak disertakan pada bungkusan.
Apa yang kami buat?
Kami menganalisis keputusan kajian rawak terkawal (RCT), yang membandingkan kejadian UTI pada orang yang mengambil produk kranberi dengan mereka yang mengambil plasebo atau tiada rawatan. Kami juga menganalisis keputusan RCT yang membandingkan produk kranberi dengan rawatan lain seperti antibiotik atau probiotik.
Apa yang kami dapati?
Kami mendapati 50 RCT melibatkan 8857 orang. Empat puluh lima RCT membandingkan kranberi dengan plasebo atau tanpa rawatan. Mengambil kranberi sebagai jus, tablet atau kapsul mengurangkan bilangan UTI pada wanita dengan UTI berulang, pada kanak-kanak dengan UTI dan pada orang yang terdedah kepada UTI berikutan intervensi seperti radioterapi pundi kencing. Walau bagaimanapun, UTI nampaknya tidak berkurangan pada lelaki dan wanita warga emas di pusat jagaan, pada orang dewasa dengan disfungsi pundi kencing neuromuskular dan pengosongan pundi kencing yang tidak lengkap, atau pada wanita hamil. Beberapa orang melaporkan sebarang kesan sampingan dengan yang paling biasa adalah sakit perut. Kami tidak menemui maklumat yang mencukupi untuk menentukan sama ada produk kranberi adalah lebih atau kurang berkesan berbanding dengan antibiotik atau probiotik dalam mencegah UTI selanjutnya.
Kesimpulan
Produk kranberi boleh membantu mencegah UTI yang menyebabkan gejala pada wanita dengan UTI yang kerap, pada kanak-kanak dengan UTI dan pada orang yang telah menjalani intervensi yang melibatkan pundi kencing. Walau bagaimanapun, penilaian lanjut diperlukan dalam RCT yang direka bentuk dengan baik dan berdaftar secara prospektif untuk menjelaskan lebih lanjut siapa penghidap UTI akan mendapat manfaat daripada produk kranberi.
Diterjemahkan oleh Tan Wing (Manipal University College Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my